Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

171) PINJAMAN MIKRO KREDIT

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ir. Muthiah A/l Maria Pillay

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Program Pinjaman Mikro Kredit yang telah dilancarkan oleh kerajaan negeri satu usaha yang baik. Bukit Melawati sedang menunggu pelancaran Mikro Kredit di sini untuk golongan berpendapatan rendah. Bank Mikro Kredit Kampong ini mesti diuruskan dengan perbelanjaan yang rendah.Ini boleh dijalankan dengan bantuan anggota sukarela dari NGO (Badan Bukan Kerajaan) seperti cara -cara koperasi beroperasi Grameen Bank di Bangladesh adalah salah satu yang berjaya seperti tersebut di atas. Bank Mikro Kredit Kampong boleh memberi pinjaman dari RM 2000 sehingga maksimum RM 20,000. Memohon penjelasan bagaimana bank ini akan beroperasi dan bila pinjaman -pinjaman boleh diperolehi ?

    Skim Mikro Kredit Selangor(SKIMSEL) diuruskan oleh Yayasan Dar Al Qard Al Hasan (YDAQAHS) telah dirasmikan pada 2 September 2010. Daerah pertama operasi di Sabak Bernam.

    YDAQAHS akan beroperasi di semua daerah luar Bandar yang terdiri daripada daerah berikut:-

    • Sabak Bernam
    • Kuala Selangor
    • Hulu Selangor
    • Hulu Langat
    • Kuala Langat
    • Sepang

    Operasi SKIMSEL sama seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan memasuki semua kawasan di luar bandar melalui kakitangan yang terlatih bagi meninjau keadaan hidup dan rumah yang memohon menyertai SKIMSEL.  Pemohon tidak perlu mengisi borang. Mereka yang layak atau merasakan layak boleh memberikan nama, alamat dan nombor  telefon jika ada kepada pegawai SKIMSEL yang ditempatkan di semua pejabat Daerah yang dinyatakan di atas.

     

    Pinjaman boleh dipohon selepas melalui proses berikut:-

    1. Lulus Ujian Temuduga Kelayakan
    2. Selepas Lulus Temuduga mereka diwajibkan menubuhkan kumpulan 5 orang
    3. Menjalani latihan wajib selama 3 hari iaitu dua sejam pada setiap hari
    4. Selepas itu mereka dikehendaki menjalani ujian lisan kefahaman selama satu jam
    5. Jika lulus ujian kefahaman peserta boleh membentangkan cadangan pinjaman mereka untuk dinilai oleh ahli kumpulan serta pusat.

Lampiran

Tiada Lampiran.