Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
79) PINDAAN UNDANG-UNDANG KECIL PBT
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila terangkan cara-cara pindaan undang-undang kecil PBT dengan terperinci.
Undang-Undang Kecil PBT di Selangor secara umumnya merupakan UUK yang telah diseragamkan untuk digunapakai oleh semua PBT di Selangor. Oleh yang demikian, apa-apa pindaan dan gubalan UUK PBT akan melibatkan penyelarasan oleh pihak Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN Selangor (SPBT UPEN). Sekiranya terdapat cadangan pindaan UUK, PBT yang berkenaan ataupun SPBT UPEN akan berbincang bersama bagi menentukan sama ada ianya dipersetujui untuk diteruskan dengan cadangan pindaan. SPBT UPEN akan membawa cadangan pindaan dan gubalan ke Mesyuarat Jabatan Undang-Undang PBT yang dihadiri oleh semua PBT Negeri Selangor, Kamar Penasihat Negeri Selangor dan dipengerusikan oleh SPBT UPEN untuk memuktamadkan keputusan. SPBT UPEN akan mendapatkan kelulusan dasar Kerajaan Negeri berkenaan pindaan UUK tersebut. PBT atau sekumpulan beberapa PBT akan menyediakan draf pindaan bersama jadual justifikasi. Perkara ini akan dilaksanakan melalui beberapa siri mesyuarat dan bengkel semakan dan penyediaan draf UUK dan kertas cadangan pindaan yang melibatkan pihak-pihak berkaitan.
Setelah itu, draf UUK akhir akan dikemukakan kepada SPBT UPEN untuk dipanjangkan kepada Pejabat Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri untuk semakan. Selesai semakan, draf UUK akan dipulangkan semula kepada SPBT UPEN untuk diedarkan kepada semua PBT di Selangor untuk disesuaikan mengikut PBT masing-masing yang mempunyai sedikit perbezaan dari segi penggunaan istilah seperti bandaraya dan perbandaran, Datuk Bandar dan Yang Dipertua, serta butiran lain seperti amaun caj bayaran fi lesen yang biasanya berbeza bagi setiap PBT. Kemudian, setiap PBT yang telah menyediakan draf mengikut PBT masing-masing akan mengemukakan semula kepada Pejabat Kamar Penasihat Undang-Undang melalui SPBT UPEN. Apabila draf UUK selesai disemak, PBT akan mendapatkan kelulusan di mesyuarat jawatankuasa yang berkenaan serta Mesyuarat Penuh PBT. Akhir sekali, salinan bersih akan ditandatangani oleh Datuk Bandar/ Yang Dipertua dan dikemukakan kepada SPBT UPEN untuk urusan pewartaan oleh Pejabat Kamar Penasihat Undang-Undang.
-
Apakah jenis pindaan yang telah atau pernah dilakukan sepanjang tahun 2018 sehingga kini?
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan undang-undang di Negeri Selangor supaya sentiasa teratur dan sesuai dengan perubahan dari semasa ke semasa. Ini bagi memastikan amalan tadbir urus yang baik dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan serta berasaskan perundangan. Berikut adalah senarai pindaan atau gubalan UUK yang telah atau pernah dilaksanakan di peringkat Negeri Selangor yang diselaraskan oleh SPBT UPEN dari tahun 2018 sehingga kini:
- Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta);
- Perintah Tetap (Mesyuarat);
- Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Motor dengan Berat Muatan Melebihi 10 Tan);
- Perintah Had Laju Tempatan (Jalan Negeri) (Larangan Masa Tertentu); dan
- Undang-Undang Kecil Iklan Pilihan Raya.