Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
89) PILIHANRAYA PBT
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan pilihanraya peringkat PBT ini sendiri?
Kerajaan mempunyai cadangan untuk mengadakan pilihanraya peringkat PBT.
Oleh yang demikian satu kajian telah pun selesai dilaksanakan. Berdasarkan
hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah pun menghantar surat kepada SPR
meminta secara rasmi untuk SPR meneliti dan menjalankan kajian lanjut
berlandaskan undang-undang sedia ada bagi memastikan sama ada pilihan raya
kerajaan tempatan untuk pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
di Selangor boleh dilaksanakan atau pun tidak. Berdasarkan maklum balas yang
diterima daripada pihak SPR adalah seperti berikut :
1. SPR mempunyai kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan
tertakluk ia diberi kuasa oleh undang-undang persekutuan atau negeri
menurut Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan;
2. Akta 473 memberi SPR kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan
tempatan. Walau bagaimanapun, SPR tidak dapat menguatkuasakan Akta
473 kerana subseksyen 15(1) Akta 171 yang memperuntukkan bahawa
semua peruntukkan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan
dalam Akta 473 telah dimansuhkan dan terhenti kuat kuasanya atau terhenti
mempunyai kesan;
3. Berikutan dengan kuat kuasanya subseksyen 15(1) dan pemakaian seksyen
10 Akta 171, adalah jelas bahawa SPR tidak boleh menjalankan pilihan raya
bagi memilih Anggota Majlis sesuatu pihak berkuasa tempatan kerana
keanggotaan mereka hendaklah dibuat secara lantikan (by appointment);
4. Walaupun pilihan raya kerajaan tempatan berada di bawah bidang kuasa
Negeri, namun berdasarkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan,
perubahan dasar berhubung dengan apa-apa cadangan untuk mengadakan
semula pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diputuskan terlebih dahulu
oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (National Council for Local
Government);
5. Jika Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (National Council for Local
Government) memutuskan bahawa Anggota Majlis sesuatu pihak berkuasa
tempatan hendaklah dibuat melalui suatu pilihan raya, maka cadangan ini
boleh dilaksanakan dengan cara berikut:
5.1 Seksyen 10 dan 15 Akta 171 perlu dipinda dan dikaji semula apa-apa
peruntukkan sedia ada yang lain berkaitan dengan pelantikan Anggota
Majlis;
5.2 Semua cadangan pindaan kepada Akta 171 hendaklah diterima pakai
oleh semua Negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian
undang-undang itu; dan
5.3 Peraturan-peraturan bagi menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan
hendaklah diadakan.
6. Sehinggalah segala tindakan diambil berdasarkan cadangan yang dinyatakan
di sebelum ini, SPR tidak boleh menguatkuasakan Akta 473 untuk
menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor.
7. Seterusnya, pihak SPR tidak boleh menjalankan kajian dan penyelidikan
untuk Kerajaan Negeri Selangor kerana bertentangan dengan fungsi dan
kuasa SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya
1958. Walau bagaimanapun berdasarkan kepada peruntukkan sedia ada
sehingga ini, keputusan pihak Kerajaan Negeri untuk menjalankan pilihan
raya kerajaan tempatan di bawah Akta 473 tidak boleh dilaksanakan kerana
semua peruntukkan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan telah
dimansuhkan dan terhenti berkuat kuasa atau terhenti mempunyai kesan
atas pemakaian seksyen 15 Akta 171. Pihak Kerajaan Negeri juga adalah
tertakluk kepada seksyen 10 Akta 171 yang menyatakan bahawa pelantikan
Anggota Majlis Berkuasa Tempatan hendaklah dibuat secara lantikan (by
appointment). -
Apakah kerajaan negeri setuju dengan kenyataan bahawa pilihanraya itu akan mengurangkan fokus kerja PBT sebaliknya sibuk berpolitik (politiking)?
Pegawai PBT hanya bertugas sebagai pelaksana dan bukan sebagai pembuat
polisi. Sekiranya pilihan raya ini dilaksanakan Pegawai PBT akan bekerja seperti
biasa kerana mereka tidak akan berkempen untuk calon Ahli Majlis yang bakal
bertanding. Jika dilihat kepada senario Malaysia, jentera Kerajaan masih lagi
beroperasi seperti biasa semasa pilihan raya umum dilaksanakan. -
Adakah impak positif yang bakal berlaku jika cadangan ini dapat dilaksanakan?
Jika ia dapat dilaksanakan maka rakyat boleh diberi peluang untuk mengundi
calon yang sesuai sebagai Ahli Majlis. Walau bagaimanapun akibat kekangan
perundangan ia perlu dikaji semula terutamanya dari aspek kesediaan
masyarakat dan keperluan politik semasa agar impak yang positif dapat dinikmati
oleh semua pihak.