Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
100) PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Dewan Negeri telah meluluskan usul memulihkan Pilihan raya Kerajaan Tempatan. Apakah langkah-langkah yang sedang dilakukan oleh kerajaan ke arah ini?
Langkah-langkah yang sedang dilakukan demi merealisasikan matlamat ini oleh
Kerajaan Negeri ialah dengan melaksanakan kajian dasar pelaksanaan Pilihanraya
Kerajaan Tempatan melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan
Penyelidikan. Satu Pasukan Penyelidik telah dilantik yang terdiri daripada Peguam, Ahli
Akademik dan NGO untuk melaksanakan kajian ini dan telah dibentangkan kepada
Kerajaan Negeri. Beberapa cadangan telah dikemukakan oleh pasukan penyelidik ini
untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri. -
Adakah kerajaan sudah mewujudkan jawatankuasa khas untuk meneliti Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)?
Buat masa ini Kerajaan Negeri belum menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk meneliti
Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memandangkan perkara ini telah termasuk di
dalam skop kajian yang dijalankan oleh Pasukan Penyelidik yang telah dilantik oleh
Kerajaan Negeri. Hasil kajian yang dicadangkan oleh Pasukan Penyelidik masih dalam
kajian dan penelitian Kerajaan Negeri dan setakat ini belum ada keputusan muktamad
yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri -
Apakah faktor-faktor selain Akta 171 yang boleh menghalang proses ini?
Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan setakat ini, didapati tiada faktor-faktor lain
yang boleh dianggap sebagai utama selain Akta 171.