Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

193) PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa lama tindakan diambil atau maklum balas terhadap setiap aduan yang dibuat oleh masyarakat berkaitan dengan kerosakan infra atau bencana alam?

    Tempoh tindakan berkaitan aduan infra adalah 1 hingga 14 hari bekerja bermula dari tempoh aduan diterima. Walau bagaimanapun, tempoh penyelesaian aduan infra bergantung pada tahap keseriusan bencana dan kos untuk membaikinya. Jika tahap kerosakan memerlukan satu tempoh tertentu, ia akan dikategorikan berdasarkan kepada aduan yang diterima manakala aduan kerosakan kecil boleh diambil tindakan dengan segera.

    Bagi aduan yang mengambil jangka masa panjang seperti kerosakan jalan yang teruk dan kritikal memerlukan kos yang tinggi untuk membaikinya, kerja-kerja sebutharga atau tender perlu dibuat untuk melantik kontraktor bagi kerja-kerja membaiki jalan tersebut dan tempoh pembaikan mengambil masa lebih panjang serta berdasarkan peruntukan semasa.

    Maklum balas penerimaan aduan dikemukakan dalam tempoh 1 hari manakala maklum balas tindakan adalah dalam tempoh 14 hari bekerja atau kurang.

    Tempoh tindakan terhadap aduan kecemasan dan bencana alam adalah serta merta.

  2. Apakah bantuan sumbangan kemasyarakatan oleh PBT kawasan kepada penduduk yang terjejas dimasa pandemik COVID-19?

    Bantuan sumbangan kemasyarakatan oleh PBT kawasan kepada penduduk yang terjejas diwaktu pandemik COVID-19 adalah seperti berikut:

    1. Membantu melaksanakan disinfeksi di kawasan perumahan mengikut Zon dilaksanakan oleh MPP dan Ahli Majlis terlibat.
    2. Bekerjasama dengan ADUN, MPP, dan Ahli Majlis dalam pemberian sumbangan kelengkapan perlindung diri kepada penduduk setempat seperti Mask dan Sanitizer.
    3. Perlaksanaan Program Bakul Makanan kepada golongan terkesan COVID-19 seperti pemberian barangan keperluan harian terus kepada penduduk yang memerlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.