Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
199) PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah PBT boleh mengambil tindakan/polisi yang tidak diluluskan dalam mesyuarat penuh?
Mana-mana dasar atau polisi hendaklah mendapat kelulusan Mesyuarat Majlis yang terdiri daripada Datuk Bandar/ Yang Dipertua dan 24 orang Ahli Majlis sebelum boleh dilaksanakan bagi mana-mana peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai pihak yang memberi kelulusan. Dalam hal ini, sekiranya dasar atau polisi tidak mendapat kelulusan PBT, sesuatu kelulusan itu boleh menjadi tidak sah, tidak boleh dikuatkuasakan, cacat prosedur atau ‘ultra vires’.
-
Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap PBT yang tidak mengikut keputusan mesyuarat penuh?
Bagi mana-mana PBT yang tidak mematuhi keputusan mesyuarat PBT atau membuat tindakan tanpa mendapatkan kelulusan mesyuarat Pihak Berkuasa Tempatan, PBT akan terdedah kepada risiko tindakan saman atau semakan kehakiman daripada mana-mana individu atau pihak yang terkesan dengan keputusan PBT tersebut. Di dalam hal ini, PBT juga berisiko kerana boleh melibatkan pembayaran jumlah tuntutan pampasan dan kerugian akibat daripada keputusan Mahkamah yang membatalkan keputusan PBT.
-
Apakah tindakan yang boleh dikenakan terhadap pegawai-pegawai yang tidak mengikut keputusan mesyuarat penuh?
Sekiranya suatu arahan telah dikeluarkan dan pegawai tidak mematuhi arahan yang telah ditetapkan, ianya adalah suatu kesalahan di bawah Kaedah 10
Kaedah-Kaedah Pekerja (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 dan pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib di atas kesalahan ingkar perintah atau arahan. Oleh yang demikian, pegawai-pegawai yang tidak mengikut keputusan mesyuarat penuh boleh diambil tindakan di bawah kaedah yang dinyatakan ini.