Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

141) PETANI TERJEJAS AKIBAT COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri melakukan semakan terperinci terhadap petani yang terjejas akibat Covid19 dan berapakah jumlah mereka?

    Jabatan telah mendapatkan maklum balas dari semua penternak akuakultur yang berdaftar melalui Pejabat-pejabat Perikanan Daerah bagi mengenal pasti bilangan sebenar penternak yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak COVID 19. Hasil dari semakan peringkat awal yang dibuat, seramai 131 penternak akuakultur dari pelbagai kategori kecil dan sederhana yang menjalankan pelbagai jenis sistem ternakan seperti kolam dan sangkar telah dikenal pasti terjejas. Walaupun jualan hasil ternakan terjejas kerana permintaan yang jatuh mendadak, rata-rata penternak akuakultur memerlukan bantuan input makanan bagi memastikan aktiviti ternakan mereka terus bertahan. Dalam masa yang sama, bagi memastikan kelangsungan jualan hasil ternakan, Jabatan turut menghubungkan penternak dengan FAMA. Hasil dari semakan, Jabatan mengenal pasti bahawa pengusaha ikan hiasan dan benih ikan juga terjejas.

    Bagi kategori nelayan pula, pada peringkat PKP 1, kategori nelayan yang dikenal pasti terjejas teruk adalah nelayan dari Zon A diikuti Zon B dan C. Penutupan pasar awam, restoran, kilang pemprosesan dan pergerakan fizikal yang terhad adalah antara punca yang menyumbang kepada aktiviti menangkap ikan. Nelayan kategori ini juga tidak mempunyai tempat penyimpanan ikan yang besar (cold room), untuk menyimpan hasil tangkapan. Pada peringkat PKP seterusnya, sementara situasi nelayan Zon A dan B semakin baik, situasi nelayan bagi Zon C dilihat lebih memburuk berikutan ramai kru asing yang bekerja di atas bot Zon C telah pulang ke negara masing-masing. Walau bagaimanapun, nelayan kategori ini masih mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan masih mampu bertahan untuk satu tempoh masa yang lebih lama sehingga wabak COVID 19 dapat dikawal. Manakala bagi nelayan di kategori A dan B juga turut terjejas berikutan kekurangan permintaan selepas jeti serta pasar awam ditutup yang menyebabkan nelayan kategori ini sukar untuk memasarkan hasil tangkapan. Semasa peringkat PKP 1-3 juga, Jabatan telah mengenal pasti aktiviti seramai 46 orang nelayan darat di Bernam yang terjejas.

  2. Nyatakan bantuan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada petani yang terjejas.

    Bagi meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan khas berjumlah RM3,000,000.00 berbentuk bantuan makanan, insentif input pertanian, peralatan dan petrol serta peruntukan untuk memasarkan produk mereka melalui Program Selangor Agro Market (SAM) – Pasar segar Terkawal (SAM – PST). Pecahan pemberian bantuan dan insentif tersebut adalah seperti berikut:-

    i) Program Bantuan Makanan – RM500,000.00

    Jumlah penerima adalah seramai 5,000 orang terdiri daripada semua golongan pengusaha sektor pertanian termasuk barisan hadapan (frontliners) dengan nilai RM100.00 setiap bungkusan yang mengandungi produk-produk makanan seperti beras, tepung,   gula serta hasil produk IAT dan produk segar.

    ii) Program SAM – PST – RM1,000,000.00

    Program tersebut telah memberikan manfaat kepada seramai 275   pengusaha dengan pembelian sejumlah 713.00 mt bernilai RM1,180,703.30.

    iii) Program Bantuan Kepada Pengusaha

    Pecahan pemberian bantuan yang telah diluluskan kepada   golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan produk proses seramai 2,744 orang adalah seperti berikut:-

    • Bantuan Input Pertanian – RM441,500.00 (858 orang)
    • Bantuan Makanan Ternakan – RM 116,400.000 (111 orang)
    • Bantuan Makanan (Akuakultur) – RM120,000.00 (131 orang)
    • Bantuan Nelayan (Petrol) – RM254,100.00 (847 orang)
    • Bantuan Usahawan Produk Proses (IAT) – RM560,000.00 (800 penerima)
    • Bantuan Nelayan Darat (Petrol dan Kit Keselamatan air ) – RM13,800.00 (46 orang)

Lampiran

Tiada Lampiran.