Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
276) PETANI DAN NELAYAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh Kerajaan bagi memastikan petani, penternak dan nelayan din Selangor terus mendapat sokongan ekonomi khususnya dalam bentuk subsidi?
Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang mengambil kira semua faktor yang boleh memberikan impak untuk jangka masa panjang dan jangka pendek dalam membangunkan sektor pertanian makanan Negeri Selangor termasuk dalam menjadikan Negeri Selangor sebagai hub pertanian dan penternakan.
Dasar PeTA Selangor tersebut adalah seperti berikut;
- Pertanian Bernilai Tinggi
- Pemodenan Pertanian
- Rantaian Bekalan Makanan Yang Lengkap
- Pembangunan Agroprenuer; dan
- Agro Pelancongan
Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai projek dan program untuk menggalakkan serta membantu para petani mengembangkan usaha tani mereka melalui pelbagai bentuk insentif.
Antara Insentif yang disediakan adalah dari segi pembangunan infrastruktur ladang, bantuan input-input dan peralatan pertanian dan juga pembangunan modal insan petani melalui latihan, kursus dan program pemindahan teknologi yang lain. Selain insentif tanaman makanan, Jabatan Pertanian juga membantu dalam membangunkan usahawan-usahawan Industri Asas Tani yang merupakan industri hiliran bagi rantaian bekalan makanan negara.
Jabatan Pertanian menyediakan insentif untuk pembangunan tanaman sayuran dan kontan di bawah PK08 di dalam Rancangan Selangor 1 (RS1) 2021-2025. Di bawah program ini, tiga komponen utama insentif berbentuk pembangunan kawasan dan infrastruktur ladang serta insentif kemudahan input pertanian dan kemudahan lepas tuai serta pembangunan teknologi. Bagi tahun 2024, sebanyak RM500,000.00 diperuntukan untuk petani tanaman kontan Negeri Selangor dengan kadar maksimum RM20,000 per hektar.
Jabatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) mempunyai inisiatif seperti bantuan dalam bentuk benih ternakan, peralatan menternak, bahan binaan kandang, pemakanan ternakan dan homplot (tanaman rumput) melalui beberapa Program Pembangunan iaitu Pembangunan Komoditi Ternakan Ruminan dan Pembangunan Pembiakbakaan Ruminan, Pembangunan Komoditi Ternakan Unggas dan Bukan Ruminan.
Kerajaan Negeri melalui DVS sedang menaik taraf reban-reban sedia ada milik Kerajaan Negeri yang terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sabak Bernam, Sepang dan Hulu Selangor yang sedang disewakan kepada penternak tempatan.
Selain itu, sebagai usaha meningkatkan pengeluaran ayam di Negeri Selangor ini, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melaksanakan projek usahasama dengan Syarikat Pertanian Pertiwi Sdn. Bhd. (Charoen Pokphand – CP) bagi membina ladang ayam pedaging baharu yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 3 juta ekor ayam setahun.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga melaksanakan Projek Tanaman Jagung Bijirin seluas 300 ekar di Kuala Langat Selatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan ayam diimport.
PKPS juga merancang untuk membangunkan projek ternakan ayam daging iaitu di Hulu Bernam, Hulu Selangor yang dijangka dapat menambah pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor setiap kitaran. Ini menjadikan jumlah pengeluaran ladang ayam PKPS kepada 800,000 ekor ayam setiap kitaran berbanding 500,000 ekor sebelum ini.
Bagi ternakan lembu pedaging dan lembu tenusu, PKPS mempunyai perancangan untuk menjadikan ladang Jelutong Jati, Mukim Sungai Panjang di Daerah Sabak Bernam sebagai projek lembu pedaging manakala projek lembu tenusu akan dilaksanakan di tapak Ladang Projek Sungai Tengi. Kawasan tersebut berkeluasan 142 ekar dan akan dibangunkan menggunakan infrastruktur berteknologi tinggi. Kapasiti kawasan tersebut mampu menampung sebanyak 1200 ekor lembu tenusu.telah memperkenalkan satu inisiatif peningkatan pendapatan petani melalui Pertanian Bernilai Tinggi dimana penanaman tanaman buah-buahan dan sayuran yang bernilai tinggi bermula dari tahun 2020 lagi. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan 12 tanaman bernilai tinggi yang akan diperluaskan penanamannya bagi menjana ekonomi petani di luar bandar melalui aktiviti pertanian yang sama.
Antara tanaman yang giat diperluaskan buat masa ini adalah tanaman melon, halia, cendawan, nanas dan jagung bijian. Melalui program ini, penduduk luar bandar yang merupakan kawasan tumpuan pertanian akan menjana pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan sosioekonomi golongan petani ini.
Untuk nelayan pula, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah membuat perancangan untuk menaiktaraf infrastruktur jeti-jeti sara diri atau jeti komuniti nelayan melalui Program Pembangunan Fasiliti Perikanan Komuniti Nelayan. Melalui program ini jeti-jeti nelayan yang telah uzur akan dibaikpulih infrastruktur bagi memudahkan dan melancarkan proses pendaratan ikan. Selain itu, LKIM turut membantu meringankan beban golongan nelayan melalui Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 Negeri Selangor.
Melalui LKIM, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1,175,000.00 bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi para nelayan melalui program Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 Negeri Selangor. Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk peningkatan enjin bot dan sampan fiber serta bantuan peralatan penangkapan ikan seperti jaring, tong ikan, tong minyak petrol dan minyak pelincir.
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi Program Pembangunan Fasiliti Perikanan Komuniti Nelayan bagi tahun 2024 untuk membaikpulih sembilan (9) buah jeti sara diri atau komuniti di seluruh negeri Selangor. Melalui program yang sama, kerajaan negeri telah memberikan bantuan menaiktaraf infrastruktur jeti Sepang Kecil yang uzur sebanyak RM400,000.00 pada tahun 2023 dan kerja-kerja baikpulih sedang dijalankan.
-
Berapakah jumlah Persatuan Nelayan yang berdaftar di DUN Sementa dan apakah bantuan yang telah diberikan dari 2022 hingga terkini?
Tiada pejabat persatuan nelayan yang berdaftar di DUN Sementa. Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pelabuhan Klang meliputi ahli di kawasan Sementa. Terdapat satu Pusat Pengisytiharan Ikan LKIM di Sementa.
Bantuan Nelayan bagi Dun Sementa mulai Tahun 2022 sehingga Oktober 2024