Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

21) PESURUHJAYA BANGUNAN (COMISSIONER OF BUILDING -[COB])

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa banyakkah aduan-aduan yang diperolehi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setiap bulan dan berapa kadarnya isu-isu dapat diselesaikan?

    Statistik mengenai bilangan aduan bagi tempoh Januari 2009 sehingga Mei 2009 yang diperoleh oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada setiap bulan dan dapat diselesaikan adalah seperti berikut:

     

    PERKARA BILANGAN ADUAN    
    JAN 09 FEB 09 MAC 09 APRIL 09 MEI 09
    JUMLAH ADUAN DITERIMA 294 298 358 324 290
    BILANGAN ADUAN SELESAI 280 282 344 305 257
    PERATUS SELESAI 95% 95% 96% 94% 87%

     

  2. Adakah wujudnya satu peruntukan khusus yang telah dibajetkan daripada Kerajaan Negeri untuk negeri dan jabatan-jabatan pesuruhjaya bangunan (COB) majlis-majlis tempatan dan jika ya, berapa jumlahnya?

    Sehingga kini, tiada peruntukan khusus yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan tugas dan kuasa Pesuruhjaya Bangunan ke peringkat negeri mahupun jabatan-jabatan Pesuruhjaya Bangunan di Pihak Berkuasa Tempatan.

     

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM180,000.00 (Ringgit Malaysia : Seratus Lapan Puluh Ribu Sahaja) untuk membayar elaun dan kos latihan bagi 12 Petugas Khas Akta 663 yang ditempatkan di 12 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.   Petugas Khas Akta 663 ini adalah dilantik secara “administrative” oleh Kerajaan Negeri bagi membantu pegawai-pegawai Pesuruhjaya Bangunan dalam pelaksanaan Akta 663.

  3. Adakah Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemajupemaju yang tidak membentuk atau menubuhkan badan pengurusan bersama atau 'joint management body' (JMB) dan jika ya, bilakah tindakan sebegini akan diambil?

    Ya, Kerajaan Negeri sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju yang tidak menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) selaras dengan peruntukan subseksyen 5 (5) Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 [Akta 663]. Selaras dengan itu, sebagai permulaan, setiap Pesuruhjaya Bangunan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan telah

    diminta mengemukakan dua kes kawasan pemajuan yang tidak menubuhkan JMB untuk diambil tindakan pendakwaan di bawah peruntukan Akta 663 berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.