Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
359) PERUSAHAAN INDUSTRI KECIL SEDERHANA (IKS) DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah perusahaan IKS di Negeri Selangor dan apakah statistik mengikut sektor industri ?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam menyokong dan memperkasa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri. Data pada peringkat nasional menunjukkan pertumbuhan positif dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan bilangan PMKS paling tinggi di Malaysia dengan jumlah 272,262 iaitu 23.2% daripada keseluruhan 1,173,601. Walaubagaimanapun, tiada statistik data mengikut industri yang spesifik untuk Negeri Selangor.
Untuk makluman Yang Berhormat, KDNK PMKS mengalami pertumbuhan pesat sebanyak 11.6% pada tahun 2022 (2021: 1.3%), yang merupakan kadar pertumbuhan terpantas sejak 2014. Pertumbuhan ini sejajar dengan pemulihan ekonomi Malaysia meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Sumbangan PMKS kepada KDNK keseluruhan meningkat kepada 38.4% pada tahun 2022 berbanding 37.4% pada tahun 2021, menandakan peranan penting sektor ini dalam pembangunan ekonomi negara. Kebanyakan sektor ekonomi PMKS mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya, kecuali sektor pertanian. Sektor perkhidmatan, perlombongan & pengkuarian, dan pembinaan menunjukkan pemulihan kukuh dengan kadar pertumbuhan masing-masing 16.4%, 8.0%, dan 4.9%, manakala sektor pembuatan terus berkembang pada kadar yang stabil.
Berdasarkan rekod penyertaan syarikat-syarikat IKS dalam program anjuran Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), terdapat lebih daripada 500 syarikat IKS yang mengambil bahagian secara aktif dalam program berkenaan. Syarikat-syarikat ini terlibat dalam pelbagai sektor industri termasuk:
- Automotif – Pembuatan dan pemasangan kenderaan serta komponen berkaitan.
- Produk Kecantikan & Kesihatan – Pengeluaran kosmetik, produk penjagaan diri, dan suplemen kesihatan.
- Makanan & Minuman – Penghasilan produk makanan dan minuman tempatan yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti.
- Elektrik & Elektronik – Pembuatan peralatan elektrik dan elektronik untuk kegunaan domestik dan industri.
- Tekstil – Pengeluaran pakaian dan produk tekstil lain yang memenuhi permintaan pasaran.
- Lain-lain – Termasuk sektor seperti perabot, plastik, dan produk logam.
Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus berusaha untuk mengumpul dan mengemas kini data berkaitan IKS bagi memastikan strategi pembangunan sektor ini lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menggalakkan perusahaan IKS untuk mendaftar dan menyertai program-program sokongan yang disediakan bagi memastikan mereka mendapat manfaat penuh daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.