Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
92) PERUNTUKKAN MARRIS
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah peruntukkan MARRIS yang telah dikumpulkan setakat ini dan berapakah peruntukkan yang telah digunakan, serta agihkan peruntukkan untuk setiap DUN?
Sebagai makluman, kedudukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) Negeri Selangor setakat 31 Julai 2018 adalah seperti jadual berikut :
JADUAL 1
Perkara (RM) Baki pada 1 Januari 2018 135,563,042.15 Terimaan dari Kerajaan Persekutuan (Januari hingga Julai) 305,378,790.35 Jumlah (RM) 440,941,832.50 (-) Agihan kepada agensi pelaksana 340,567,802.26 Baki akhir setakat 31 Julai 2018 100,374,030.24 Jadual 1: Kedudukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) Negeri Selangor setakat 31 Julai 2018
Kerajaan Negeri telah menetapkan sejumlah RM168 juta (RM3 juta / DUN) sebagai Siling Peruntukan mengikut kawasan Dewan Negeri melalui dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor. Setakat 31 Julai 2018, kira-kira 42% atau sejumlah RM 70,544,920.16 peruntukan mengikut kawasan Dewan Negeri telah diagihkan kepada PBT.
-
Apakah langkah-langkah bagi memastikan kerja MARRIS mematuhi piawaian dan aspek teknikal?
Perbendaharaan Negeri menerusi Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah MARRIS telah menetapkan bahawa semua kerja penyenggaraan jalan menggunakan wang MARRIS hendaklah mematuhi Garis Panduan Turapan Jalan dan Spesifikasi Teknikal yang dikeluarkan oleh pihak JKR selaku jabatan teknik. Terdapat beberapa pemeriksaan dan ujian yang perlu diperiksa oleh agensi pelaksana sebelum pembayaran kepada pihak kontraktor boleh diluluskan. Pemeriksaan dan ujian tersebut adalah seperti berikut :
- Pemeriksaan dan pengesahan pegawai teknikal bahawa kerja di tapak telah dibuat mengikut kuantiti dan spesifikasi kerja yang ditetapkan dalam Bill Of Quantity (BQ);
- Coring Test bagi mengukur ketebalan premix yang dilaksana oleh pihak kontraktor adalah melepasi ketebalan minimum iaitu 50mm seperti standard JKR;
- Bitumen Content Test bagi mengukur kandungan bitumen dalam wearing course premix yang disediakan oleh pihak kuari agar mematuhi standard dan piawaian kualiti semasa;
Semua agensi pelaksana adalah tertakluk kepada pengauditan dan naziran oleh pihak Perbendaharaan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Audit Negara dalam mematuhi perkara ini.
-
Bagi kerja MARRIS yang tidak memuaskan, apakah tindakan yang boleh diambil, terutamanya apabila aduan diterima dalam tempoh yang lama selepas siap kerja?
Sekiranya kerja-kerja turapan jalan di bawah peruntukan MARRIS didapati tidak memuaskan, agensi pelaksana adalah bertanggungjawab untuk mengarahkan kontraktor menyempurnakan spesifikasi kerja mengikut kontrak yang telah dipersetujui. Dalam hal ini, pemotongan bayaran boleh dibuat mengikut penilaian kerja sebenar yang telah dilaksanakan. Dalam kes aduan diterima selepas kerja telah lama disiapkan, arahan masih boleh dikeluarkan kepada pihak kontraktor sebagai Notis Membaiki Kecacatan dengan syarat masih di dalam tempoh Defect Liability Period (DLP). Semua projek Kerajaan Negeri bernilai sebut harga perlu memasukkan tempoh Defect Liability Period (DLP) selama enam (6) bulan, manakala projek bernilai tender selama satu (1) tahun.