Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
209) PERUNTUKAN TAHUNAN AHLI MMKN
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah peruntukan tahunan yang diterima setiap ahli MMKN?
Sepertimana yang terkandung dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2022, peruntukan Ahli Dewan Negeri adalah mengikut kategori bilangan daftar pemilih seperti di butiran berikut:-
BILANGAN PENGUNDI (ORANG) AGIHAN (RM)
40,000 ke bawah 750,000.00
40,001 – 55,000 800,000.00
55,001 – 70,000 850,000.00
70,001 – 90,000 900,000.00
90,001 ke atas 950,000.00
Manakala bagi peruntukan yang diterima oleh setiap ahli AMMKN adalah tambahan RM300,000.00 dari nilai peruntukan yang diterima Ahli Dewan Negeri.
-
Apakah pecahan peruntukan tersebut untuk projek kecil, pembangunan sosial dll?
Berdasarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2022, pecahan penggunaan peruntukan Ahli MMKN dan Ahli Dewan Negeri adalah seperti berikut:
- RM72,000.00 setahun untuk perbelanjaan pengurusan pejabat. Perbelanjaan pengurusan pejabat ini termasuk penyewaan ruang pejabat, penyewaan mesin fotostat, penyelenggaraan pejabat, pembayaran bil utiliti, pembelian komputer, pencetak, alat tulis, perbelanjaan mesyuarat serta lain-lain peralatan dan keperluan dalam pengurusan pejabat.
- Sekurang – kurangnya 30% daripada peruntukan keseluruhan AMMKN dan ADN adalah untuk pelaksanaan projek – projek kecil; Projek – projek kecil ini meliputi perolehan kerja tidak melebihi RM50,000.00 bagi projek infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan awam.
- Sumbangan kemasyarakatan dan program mesra rakyat tidak melebihi 70% daripada keseluruhan peruntukan AMMKN dan ADN:
Sumbangan Kemasyarakatan ini adalah sumbangan yang tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap sumbangan kepada rakyat miskin, warga emas, anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya, badan atau individu seperti persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berdaftar dan tidak bermotifkan keuntungan, mangsa bencana, mangsa kemalangan, penghidap penyakit kronik dan bantuan kepada jawatankuasa masjid/surau dan rumah ibadat yang berdaftar. Manakala Program Mesra Rakyat pula adalah penganjuran program tidak melebihi RM30,000.00 bagi setiap program bagi tujuan program turun padang, sesi dialog bersama rakyat, ziarah, program menceriakan kawasan sempena perayaan, program belia dan sosial, program-program kemasyarakatan.