Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

141) PERUNTUKAN SUKARELAWAN KESIHATAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Dengan banyaknya isu kesihatan dan kebajikan, adakah peruntukan bagi Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor akan ditingkatkan?

    Peruntukan bagi Sukarelawan Kesihatan Komunti Selangor (SUKA) bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM15,000 bagi setiap DUN. Peruntukan ini boleh digunakan oleh anggota SUKA bagi melaksanakan program kesihatan di kawasan masing-masing. Peruntukan ini juga boleh digunakan bagi menampung keperluan anggota SUKA semasa melaksanakan tugasan seperti makan minum dan tambang pengangkutan. Sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 43 DUN telah menerima peruntukan ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM645,000. Berhubung cadangan oleh Yang Berhormat untuk meningkatkan peruntukan SUKA, Kerajaan Negeri akan menilai cadangan tersebut selepas menerima laporan program yang perlu dikemukakan oleh setiap SUKA selepas program selesai dilaksanakan.

  2. Apakah rancangan masa hadapan SUKA?

    Antara perancangan Kerajaan Negeri untuk anggota SUKA adalah seperti berikut:

     

    • Mempelbagaikan program berbentuk latihan berkaitan kesihatan awam dan kepimpinan bagi memastikan setiap anggota SUKA mempunyai ilmu asas berkaitan kesihatan awam dan kepimpinan;

     

    • Mempertingkatkan kerjasama anggota SUKA dengan badan sukarelawan yang lain seperti Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) ketika melaksanakan program kesihatan awam di peringkat komuniti; dan

     

    • Cadangan penstrukturan bagi mewujudkan Ketua SUKA Negeri Selangor yang bertindak sebagai Penyelaras bagi hal ehwal berkaitan SUKA di negeri ini.
  3. Selain bantuan kesihatan dan SUKA, apalah rancangan kepada pesakit terlantar yang memperlukan pelbagai jenis alat dan barang kesihatan untuk tempoh lama/ seumur hidup?

    Kerajaan Negeri ada menyediakan bantuan peralatan kesihatan bagi pesakit terlantar di bawah Program Bantuan Sihat Selangor (BSS). Setiap pesakit yang layak akan menerima bantuan bernilai sehingga RM5,000 dan bantuan ini boleh dimohon setiap tahun. Maklumat lanjut berkaitan bantuan ini boleh layari laman sesawang https://bantuansihat.selangor.gov.my/

Lampiran

Tiada Lampiran.