Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
170) PERUNTUKAN RM500 RIBU PROJEK-PROJEK KECIL DUN 2012
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prestasi keseluruhan pelaksanaan projek-projek kecil setiap DUN di bawah peruntukan RM500 ribu bagi 2012?
Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Ribu Sahaja) bagi 56 kawasan Dewan Negeri Selangor dengan jumlah keseluruhan RM28,000,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Lapan Juta Sahaja) untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan perkhidmatan perbekalan. Peruntukan tersebut telah disalurkan kepada semua sembilan (9) Pejabat Daerah di negeri Selangor pada 14 September 2012.
Selaras dengan dasar Kerajaan Negeri iaitu value for money yang bertujuan untuk memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dibelanjakan dengan berhemah, pelaksanaan bagi setiap projek yang diluluskan ini perlu melalui proses sebutharga.
Sehingga 31 Mei 2013, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan sebanyak 893 buah projek kepada sembilan (9) Pejabat Daerah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM26,688,108.52.
Daripada jumlah keseluruhan projek itu, 883 telah selesai dan siap dilaksanakan manakala baki 10 projek masih di peringkat pelaksanaan. Perincian keseluruhan adalah seperti di LAMPIRAN A.
-
Bagaimanakah pemantauan/audit dijalankan bagi memastikan spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan dipenuhi?
Bagi pelaksanaan dan pemantauan projek infrastruktur kecil dan perkhidmatan bekalan di bawah peruntukan RM500,000 kepada setiap kawasan Dewan Negeri Selangor (DUN), Garis Panduan PelaksanaanProjek-projek Kecil telah disediakan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) seperti di Lampiran B.
Dalam hal ini, UPEN telah menerima pelbagai jenis projek yang diperlukan di peringkat daerah, namun ada diantaranya berada di luar skop garis panduan tersebut. Apabila keadaan ini berlaku, pihak UPEN akan menyelaras bersama pihak Pejabat Daerah dengan mencadangkan kepada pihak Pejabat Daerah untuk menukar tajuk projek yang lebih sesuai bagi memastikan projek yang diluluskan akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri Selangor.
Dari aspek pemantauan dan pemeriksaan fizikal, ianya akan dilakukan oleh unit teknikal pihak Pejabat Daerah selaku wakil Penguasa Projek bagi memastikan ianya menepati spesifikasi sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Bill Of Quantity (BQ).
-
Adakah Kerajaan Negeri akan menyediakan laporan penuh tentang pencapaian tersebut?
Setiap projek pembangunan yang menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Negeri perlu dipantau dari sudut pelaksanaan fizikal dan aspek pematuhan tatacara kewangan khususnya yang melibatkan perbelanjaan peruntukan.
Dalam hal ini, pihak UPEN akan sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan termasuk Projek Infrastruktur dan Perbekalan di bawah peruntukan RM500,000 setiap kawasan Dewan Negeri Selangor melalui laporan kemajuan dan prestasi perbelanjaan yang akan dikemukakan oleh Pejabat Daerah dan laporan itu akan dibentangkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Projek Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN. Jawatankuasa ini akan memastikan segala projek dilaksanakan mengikut jadual serta menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin timbul sekiranya terdapat kelewatan dalam pelaksanaan projek.