Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

33) PERUNTUKAN PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah peruntukan PWB dihadkan sebahagian kepada "Capacity Program" semata-mata?

    Peruntukan PWB dihadkan sebahagian kepada Program Pembinaan Kapasiti kerana pada tahun 2019, bilangan pelaksanaan program Pembinaan Kapasiti di komuniti DUN kurang memuaskan iaitu daripada sejumlah 1318 program dilaksanakan di 56 DUN, sebanyak 399 program Pembinaan Kapasiti sahaja dilaksanakan berbanding 919 program Kemahiran. Taburan pelaksanaan program Pembinaan Kapasiti di 56 DUN juga tidak seimbang. Program Pembinaan Kapasiti juga program untuk memberdaya wanita di komuniti dari sudut ilmu pengetahuan undang-undang, kefahaman gender, tata kelola baik, kesihatan wanita dan keluarga, pengurusan kewangan dan lain-lain. Sesuai dengan tema Hari Wanita iaitu ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ dan ‘Setara Untuk Semua’, maka program-program anjuran Pusat Wanita Berdaya juga mestilah seimbang di antara dua (2) jenis modul iaitu Modul Kemahiran dan Modul Pembinaan Kapasiti.

  2. Apakah perancangan supaya lebih agihan peruntukan kepada program komuniti dapat yang kini hanya berbaki sekitar RM20k setahun berbanding RM30k sebelum ini?

    Merujuk jawapan (a), peruntukan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN adalah sejumlah RM40,000.00 untuk melaksanakan dua (2) jenis modul iaitu Modul Kemahiran dan Modul Pembinaan Kapasiti. PWB DUN berhak menentukan jenis program yang ingin dilaksanakan, namun mestilah berpandukan kepada modul yang disediakan dan membelanjakan peruntukan yang diberikan secara berhemah.

     

  3. Adakah perancangan untuk kembalikan program mamogram dibawah pengurusan PWB?

    Program mamogram adalah program yang dikendalikan oleh Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN. Walau bagaimanapun, Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN akan membantu membuat promosi dan mendapatkan peserta melalui program PWB yang dianjurkan. Program mamogram mempunyai peruntukan sedia ada dan dibantu oleh Pusat Khidmat DUN. Pelaksanaan program mamogram tidak dibenarkan menggunakan peruntukan PWB DUN bagi tujuan tersebut.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.