Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
39) PERUNTUKAN PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan kepada semua kampung baru berserta dengan projek dan nilainya masing-masing.
Bagi tahun semasa 2015, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru. Sehingga 10 Ogos 2015, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM4,832,206.12 (Ringgit Malaysia: Empat Juta Lapan Ratus Tiga Puluh Dua Ribu, Dua Ratus Enam dan Sen Dua Belas Sahaja) dan pecahan senarai peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan kepada semua kampung baru berserta dengan projek dan nilainya masing-masing adalah seperti di Lampiran A.
-
Adakah kerajaan merancang untuk meningkatkan lagi peruntukan tahunan?
Kerajaan Negeri sentiasa menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama dalam pentadbiran negeri. Merujuk kepada ucapan Y.A.B Dato’ Menteri besar Selangor pada pembentangan belanjawan 2015 yang lalu, Kerajaan Negeri tuntas untuk menjadikan prinsip keadilan sosial sebagai teras dalam amalan pentadbiran. Menginsafi kemajmukan dan kerencaman masyarakat serta cabaran baru pada hari ini, Kerajaan Negeri mahu seluruh rakyat Selangor disantuni dan dipelihara kepentingannya dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira ras, agama, faham politik dan gender.
Atas dasar itu, adalah hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan lagi peruntukan tahunan bagi tujuan pembangunan kampung baru agar pembangunan fizikal dan sosial di kampung-kampung baru ini seiring dan selari dengan kemajuan negara.