Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

245) PERUNTUKAN MARRIS UNTUK JALAN PERTANIAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan yang disediakan untuk tujuan jalan-jalan pertanian?

    Perbendaharaan Negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta setahun bagi tujuan menyelenggara Jalan Pertanian di bawah Geran Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS). Peruntukan ini disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor selaku agensi yang dipertanggungjawabkan menyelenggara Jalan Pertanian seperti ketetapan dalam Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF). Peruntukan ini dikhususkan untuk skop kerja penyelenggaraan sahaja iaitu mengembalikan fungsi jalan seperti ciri-ciri asal.

    Berdasarkan garis panduan yang sama, Jalan Pertanian ditakrifkan sebagai jalan yang menghubungkan kawasan pertanian dengan jalan raya utama negeri / Jalan PBT / Jalan Kampung dan jaringan jalan dalam kawasan pertanian. Walau bagaimanapun, sesuatu jalan itu tidak layak dikelaskan sedemikian sekiranya jalan tersebut hanya menuju ke satu lot kawasan pertanian sahaja. Berdasarkan kepada takrifan ini, maka jalan-jalan di kawasan pekebun kecil yang merupakan sebahagian dari jaringan jalan raya di kawasan pertanian boleh diselenggara menggunakan peruntukan yang dimaksudkan.

    Sebagai makluman, satu Jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani untuk menyelaraskan rekod pendaftaran Jalan Pertanian di mana Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh Perbendaharaan Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Perbincangan bersama jabatan terlibat telah dibuat pada 6 Mac 2017 agar objektif berikut dapat dicapai:-

    • Menyemak dan melaksanakan pemutihan kepada senarai Jalan Pertanian sedia ada yang telah didaftarkan ke dalam Sistem MARRIS Online;
    • Mendaftarkan jalan-jalan baru terutama Jalan Pertanian di kawasan pekebun kecil dan penternak yang mendapat bantuan serta bimbingan dari Jabatan Pertanian atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar;
    • Menyemak status semasa di tapak dan seterusnya mewujudkan satu inventori Jalan Pertanian yang perlu diselenggara bagi membolehkan Kerajaan Negeri mendapat gambaran secara keseluruhan jumlah peruntukan yang diperlukan pada setiap tahun.
  2. Adakah jalan-jalan di kawasan pekebun kecil termasuk di dalam peruntukan ini?

    Sama seperti di SUB (a)

  3. Berapakah peruntukan yang disediakan untuk jalan-jalan pertanian pekebun kecil?

    Sama seperti di SUB (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.