Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
55) PERUNTUKAN MARRIS ( KAMPUNG TRADISI )
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah peruntukan tersebut boleh di gunakan untuk pembinaan jalan, longkang dan sebagainya untuk kawasan kampung tradisi?
Pemberian Jalan Negeri atau sering dirujuk sebagai peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS) disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 109(1)(b) bagi maksud aktiviti penyenggaraan jalan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Jadual Kesepuluh Bahagian II Perenggan 3(b) iaitu Penyenggaraan jalan-jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembentung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya.
-
Jika ada, adakah sebarang perancangan perbelanjaan untuk Kampung Tradisi (Kampung Melayu Subang dan Kampung Melayu Subang Tambahan - Shah Alam)?
Perbelanjaan peruntukan MARRIS yang diberikan oleh Kerajaan Persekutan kepada Kerajaan Negeri adalah terhad kepada perbelanjaan yang dibenarkan sahaja dan di Kampung Melayu Subang Tambahan, satu (1) projek penyenggaraan jalan tahun 2021 dengan kos berjumlah RM111,826.00 telah siap disempurnakan oleh Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
-
Jika tiada, apakah sumber-sumber peruntukan lain dari Kerajaan Selangor untuk pembinaan infra di 2 kampung tersebut?
Selain peruntukan MARRIS, permohonan bagi tujuan naiktaraf atau baikpulih infrastruktur asas dan jalanraya di kawasan luar bandar adalah turut dipertimbangkan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri yang telah disediakan melalui Belanjawan Tahun 2021 iaitu sebanyak RM 2 juta meliputi peruntukan untuk tujuan Kemudahan Awam/Asas Desa sebanyak RM 1 juta dan Menaiktaraf/Baikpulih Jalan Luar Bandar sebanyak RM 1 juta. Senarai projek perlu dikemukakan oleh Pejabat Daerah/Tanah pada awal tahun untuk pertimbangan dan kelulusan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.
Pada tahun 2021 juga, Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan khas di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM20,000,000.00. Daripada jumlah ini sebanyak 221 bilangan projek berjumlah RM11,329,600.00 telah diluluskan untuk disalurkan ke 9 Pejabat Daerah/Tanah di Negeri Selangor.
Berdasarkan senarai projek – projek yang telah dikemukakan oleh Pejabat Daerah/Tanah Petaling ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor untuk tujuan naiktaraf dan baikpulih jalan raya dan infrastruktur kawasan luar bandar pada tahun 2021, terdapat 1 projek telah diluluskan iaitu Kerja-Kerja Membaikpulih Kemudahan Sukan Dan Kerja-Kerja Lain Yang Berkaitan Di Kampung Melayu Subang Tambahan berjumlah RM100,000.00.