Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

88) PERUNTUKAN MARRIS

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Peruntuk MARRIS untuk setiap DUN adalah RM3 juta. Adakah Kerajaan Negeri dapat menambah peruntukan tersebut ke RM5 juta setiap DUN memandangkan kos penyelenggaraan semakin tinggi?

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 36/2018 yang bersidang pada 14 November 2018 telah meluluskan siling peruntukan MARRIS tahun 2019 berjumlah RM250.0 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Daripada jumlah tersebut, peruntukan sebanyak RM168.0 juta adalah khusus untuk menangani aduan/ masalah kerosakan jalan yang dirujuk kepada Ahli Dewan Negeri (ADN)/ Pegawai Penyelaras DUN. Ini bermakna, peruntukan MARRIS yang disediakan bagi menampung keperluan penyenggaraan jalan di sesuatu Kawasan Dewan Negeri adalah melebihi daripada amaun RM3.0 juta yang disediakan khusus untuk aduan/ masalah kerosakan jalan yang dirujuk kepada ADN/Penyelaras DUN.

  2. Bolehkah Kerajaan Negeri dapat menambah syarat dari menyelenggara ke menaiktaraf bagi peruntukan MARRIS?

    Sebagai makluman, Pemberian Jalan Negeri atau sering dirujuk sebagai peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS) disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Perkara 109 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Perbelanjaan peruntukan ini adalah bagi maksud aktiviti penyenggaraan jalan sahaja seperti skop kerja yang dibenarkan di bawah Perenggan 11, Garis Panduan Pengurusan Penyenggaraan Jalan Negeri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.

    Perenggan 3 (b), Bahagian II, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan menjelaskan maksud penyenggaraan jalan negeri seperti berikut:-

    “Penyenggaraan jalan-jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya.”

    Berdasarkan kepada fakta dan keterangan ini, Kerajaan Negeri tidak memiliki kuasa untuk menambah atau menukar syarat kegunaan peruntukan MARRIS bagi tujuan naik taraf kerana ia akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.