Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
196) PERUNTUKAN MARRIS
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila senaraikan sejauh manakah prestasi perbelanjaan peruntukan MARRIS ?
Prestasi perbelanjaan MARRIS seperti berikut:-
BIL AGENSI PELAKSANA PERUNTUKAN (RM) PERBELANJAAN (RM) * PERATUS (%) 1 Jabatan Kerja Raya (JKR)
196,000,000.00 83,343,288.24 43 2 Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS)
2,000,000.00 1,477,963.00 74 3 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
463,872,626.29 398,212,641.96 86 4 Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT)
10,980,566.60 9,512,832.13 87 JUMLAH 677,853,192.88 492,546,725.33 73 -
Sila nyatakan baki terkini peruntukan MARRIS dalam Tabung Amanah ?
Baki akhir tabung Kumpulanwang Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS):
Sehingga 15 Oktober 2016 RM 497,579,850.10 -
Sila nyatakan apakah punca utama menyebabakan masih berlaku kelewatan pelaksanaan peruntukan MARRIS ?
Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, gerak kerja berkaitan pengurusan penyenggaraan jalan telah dijadualkan semula bagi memastikan pelaksanaan kerja di tapak boleh dilaksanakan dalam tempoh enam (6) bulan iaitu mulai Mac sehingga September setiap tahun. Langkah ini diperkenalkan untuk mengelakkan kerja-kerja turapan semula jalan dalam tempoh tiga (3) bulan terakhir yang diketahui umum menerima taburan hujan yang tinggi dan boleh menjejaskan kualiti turapan jalan. Penjadualan gerak kerja bagi tahun 2016 misalnya ditunjukkan seperti berikut:-
i. Bulan Oktober 2015
Perbendaharaan Negeri menyediakan kertas ringkasan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menetapkan Siling Peruntukan MARRIS Tahun 2016 kepada Agensi Pelaksana.
ii. Bulan November 2015
Surat Kelulusan Berbelanja dikeluarkan kepada Agensi Pelaksana
iii. Bulan Disember hingga Februari 2016
Agensi pelaksana diberi masa tiga (3) bulan untuk mengemukakan senarai tajuk kerja yang berkaitan untuk kelulusan Jawatankuasa Teknikal MARRIS dan menguruskan aktiviti perolehan.
iv. Bulan Mac sehingga September 2016
Aktiviti perolehan diurus oleh Agensi Pelaksana secara berperingkat dan pelaksanaan kerja penyenggaraan secara fizikal dibuat di tapak.
Sungguhpun begitu, masih terdapat agensi pelaksana yang masih belum dapat menyelesaikan aktiviti perolehan sepenuhnya pada akhir bulan September 2016 di atas kekangan-kekangan berikut:-
a) Kapasiti Kakitangan Yang Terbatas.
Semakan pihak Perbendaharaan Negeri mendapati proses perolehan secara sebut harga dan tender telah dibuat secara berfasa oleh kebanyakan agensi pelaksana bagi membolehkan kakitangan teknikal yang terlibat memantau pelaksanaan kerja dengan teliti di tapak. Kekangan bilangan kakitangan teknikal yang dapat ditugaskan untuk memantau projek-projek ini menyebabkan keseluruhan tajuk projek tidak sesuai ditender secara serentak untuk mengelakkan kakitangan sedia ada tersebut terbeban dengan tanggungjawab memantau terlalu banyak projek dalam satu-satu masa. Ini juga untuk mengelakkan situasi di mana mungkin akhirnya wujud kompromi terhadap kualiti atau lebih teruk lagi bayaran yang tidak sepatutnya dibuat (improper payment) kerana tiada potongan dibuat terhadap perkara-perkara yang diabaikan oleh pihak kontraktor samada secara disengajakan atau tidak.
b) Kelemahan Perancangan Perolehan
Kerajaan Negeri berpandangan isu ini dapat ditangani dengan adanya perancangan yang teliti di dalam proses perolehan. Kerajaan Negeri tiada halangan terhadap proses perolehan secara berperingkat tetapi ianya mestilah diselesaikan dalam julat masa yang telah ditetapkan. Justeru, Kerajaan Negeri menyarankan agar perkara ini diperhalusi semula oleh kesemua agensi pelaksana. Satu mekanisme harus dirangka bagi mengurangkan bilangan kontrak tanpa menjejaskan bilangan jalan yang disasarkan untuk diturap menerusi penggabungan tajuk kerja di dalam satu tender berpusat (central contract) tertakluk kepada satu nilai yang bersesuaian di peringkat agensi pelaksana. Langkah ini secara serta-merta akan dapat mengurangkan bilangan kontraktor yang perlu dipantau dan meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek menerusi pelantikan kontraktor dalam gred sekurang-kurangnya G2 dan ke atas yang memiliki keupayaan modal dan jentera yang lebih baik berbanding kontraktor Gred G1 jika projek tersebut diurus secara berasingan. Namun begitu, langkah penambahbaikan secara Central Contract ini perlu dibuat secara berhati-hati dan tidak boleh dilaksana secara total terhadap keseluruhan siling peruntukan tahun semasa untuk memastikan Kerajaan Negeri berlaku adil terhadap kontraktor Gred G1 iaitu kelompok terbesar dalam kalangan kesemua kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB).