Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

154) PERUNTUKAN INSENTIF HAJI MUASSASAH SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan dari manakah sumber peruntukan bagi insentif Haji Muassasah Selangor 2022 diperolehi?

    MBI Selangor merupakan sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Menteri Besar Selangor (Enakmen No. 3 Tahun 1994) pada 21 September 1994 dengan objektif untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri serta mewakili Kerajaan Negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Pada dasarnya, MBI Selangor adalah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu aktiviti ekonomi dan sosial bagi pihak Kerajaan Negeri. MBI juga berperanan mempromosi dan mendukung usaha pembangunan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajipan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

    Sejajar dengan visi Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan beban rakyat, MBI Selangor telah merencanakan beberapa inisiatif sokongan antaranya Insentif Haji Muassasah bagi menyantuni para jemaah haji dengan pemberian wang insentif beserta kit cenderamata barangan keperluan diri untuk kegunaan para jemaah di sana. Usaha ini adalah komitmen berterusan MBI Selangor dalam membantu Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kualiti hidup sekaligus memajukan negeri sambil menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat Selangor.

  2. Nyatakan adakah sumber peruntukan insentif Haji Muassasah Selangor berstatus halal atau meragukan?

    MBI Selangor sentiasa komited dalam memastikan semua perolehan adalah daripada sumber patuh shariah.

Lampiran

Tiada Lampiran.