Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
92) PERUNTUKAN INFRASTRUKTUR UNTUK KAMPUNG-KAMPUNG MELAYU DAN KAMPUNG-KAMPUNG TRADISI
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat kampung-kampung Melayu dan tradisi tiada pelan sistem pengairan atau sistem longkang yang terancang. Hal ini memyebabkan banjir kilat dan hakisan tanah sering berlaku di kampung. Apakah rancangan akan disediakan untuk mengatasi masalah ini?
Untuk makluman Tuan Speaker dan Sidang Dewan, kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mempunyai Rancangan Tempatan bagi kawasan masing- masing. Rancangan Tempatan (RT) adalah merupakan satu dokumen rasmi yang menerangkan perancangan gunatanah bagi setiap kawasan dalam Negeri Selangor. Rancangan Tempatan (RT) juga bukan hanya menyentuh aspek-aspek perancangan di kawasan bandar, tetapi juga menyentuh secara terperinci perancangan di kawasan-kawasan kampung.
Isu dan masalah yang berkaitan dengan banjir kilat dan hakisan tanah adalah merupakan antara isu dan masalah utama yang sering disentuh di dalam penyediaan Rancangan Tempatan (RT). Setiap Rancangan Tempatan yang disediakan telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang terlibat dengan masalah tersebut dan cadangan-cadangan projek yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah yang dinyatakan.
Walau bagaimanapun, peruntukan bagi cadangan-cadangan projek berkenaan adalah tertakluk dibawah peruntukan Jabatan-jabatan dan PBT-PBT yang berkenaan.
Pihak Berkuasa Negeri sedang menyediakan Pelan Tindakan Khas (PTK) Kajian Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar Negeri Selangor 2019-2023. Antara skop kajian ini adalah penyediaan Pelan Infrastruktur dan Utiliti, Trafik dan Pengangkutan Awam dan Kemudahan Masyarakat. Sebagai permulaan, kajian ini akan melibatkan 27 daripada 519 buah kampung yang dikenalpasti berada di dalam sempadan bandar dan menerima tekanan pembangunan yang tinggi.
Untuk makluman, kajian yang melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta ini sedang dalam peringkat penyediaan Draf Laporan Teknikal manakala Laporan Akhir PTK dijangka siap pada Februari 2019. Dalam konteks perancangan, Kerajaan Negeri tidak menggalakkan pembangunan di kawasan yang terdedah kepada risiko bencana termasuk banjir yang akan memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk.