Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

107) PERUNTUKAN DAN PELAKSANAAN PROGRAM-PROGRAM DI BAWAH PWB

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengapakah peruntukan PWB dihadkan sebahagian kepada "Capacity Program" semata-mata?

    Bermula tahun 2019, sebahagian peruntukan Pusat Wanita Berdaya (PWB) telah diperuntukkan kepada Program Pembinaan Kapasiti kerana bilangan pelaksanaan Program Pembinaan Kapasiti di komuniti DUN kurang memuaskan iaitu daripada sejumlah 1,318 program dilaksanakan di 56 DUN, sebanyak 399 Program Pembinaan Kapasiti sahaja dilaksanakan berbanding 919 Program Kemahiran. Selain itu, taburan pelaksanaan program Pembinaan Kapasiti di 56 DUN juga tidak seimbang.

    Matlamat utama Program Pembinaan Kapasiti ini dianjurkan adalah untuk memberdaya wanita di komuniti dari aspek pembinaan jati diri, kefahaman undang-undang, pengarusperdanaan gender, tata kelola baik, kesihatan wanita dan keluarga, pengurusan kewangan dan lain-lain. Bertepatan dengan tema Hari Wanita iaitu ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ dan ‘Setara Untuk Semua’, maka program-program anjuran Pusat Wanita Berdaya Selangor juga mestilah seimbang di antara dua (2) jenis modul iaitu Modul Kemahiran dan Modul Pembinaan Kapasiti.

  2. Apakah perancangan supaya lebih agihan peruntukan kepada program komuniti dapat yang kini hanya berbaki sekitar RM20k setahun berbanding RM30k sebelum ini?

    Merujuk jawapan kepada soalan (a), peruntukan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN adalah sejumlah RM40,000.00 untuk pelaksanaan dua (2) jenis modul iaitu Modul Kemahiran dan Modul Pembinaan Kapasiti. PWB DUN berhak untuk menentukan jenis program yang ingin dilaksanakan, namun mestilah berpandukan kepada modul yang disediakan dan membelanjakan peruntukan yang diberikan secara berhemah.

  3. Adakah perancangan untuk kembalikan program mamogram di bawah pengurusan PWB?

    Program Mammogram adalah program yang dikendalikan oleh Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN. Walau bagaimanapun, Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN akan membantu dalam aspek promosi dan mendapatkan para peserta melalui program-program yang dianjurkan oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB).

    Memandangkan program Mammogram ini mempunyai peruntukan tersendiri yang disediakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan dan pelaksanaannya turut dibantu oleh Pusat Khidmat DUN, maka tiada keperluan untuk menggunapakai peruntukan Pusat Wanita Berdaya (PWB) sedia ada di DUN.

Lampiran

Tiada Lampiran.