Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

176) PERUNTUKAN ADUN BUKAN KERAJAAN

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah ADUN Bukan Kerajaan berhak untuk mendapat peruntukan projek-projek kecil? Nyatakan keseluruhan peruntukan tahunan yang diterima oleh seorang ADUN Bukan Kerajaan.

    Berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2019, Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Dan Ahli Dewan Negeri Selangor bertarikh 27 Februari 2019 menyatakan setiap Ahli Dewan Negeri layak untuk menggunakan peruntukan ini berdasarkan 4 kategori jenis kegunaan peruntukan iaitu Pengurusan Pejabat, Projek-Projek Kecil, Sumbangan Kemasyarakatan Dan Program Mesra Rakyat. Selain itu juga, setiap Ahli Dewan Negeri layak untuk memohon Wang Pendahuluan berjumlah RM50,000.00 bagi tujuan kemudahan sumbangan/ bantuan kepada mangsa bencana alam, kebakaran, penghidap penyakit kronik dan kemalangan. Oleh yang demikian, Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan boleh menggunakan peruntukannya untuk tujuan projek-projek kecil. Pekeliling ini mentafsirkan Ahli Dewan Negeri adalah merujuk kepada Ahli Dewan Negeri Kerajaan, Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan dan Penyelaras Dewan Negeri.

  2. Mengapa kelulusan peruntukan pembangunan perkhidmatan masyarakat bagi ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan ADUN Bebas perlu diselaraskan oleh Pejabat YAB Dato' Menteri Besar?

    Keputusan bahawa peruntukan perkhidmatan masyarakat bagi ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan ADUN Bebas perlu diselaraskan oleh Pejabat YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah diputuskan melalui Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 8/2020 yang diadakan pada 4 Mac 2020. Harus difahami bahawa keputusan ini diambil berdasarkan kepada dinamika politik nasional yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada politik di Selangor, justeru menuntut penjajaran strategik dibuat melalui penyelarasan ini. Penyelarasan ini tidak bersifat muktamad sebaliknya telah diteliti dengan mekanisme yang seimbang (diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 8/2020 yang diadakan pada 4 Mac 2020) tanpa mengkesampingkan hak yang selayaknya diterima oleh Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.