Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

59) PERUNDINGAN AIR SELANGOR DENGAN PERSEKUTUAN

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kekangan utama yang masih menyebabkan penyelesaian pengurusan air Selangor masih lagi tersekat di meja rundingan ?

    Kekangan utama ialah setengah-setengah pemilik konsesi air nampak tidak berminat untuk berunding untuk melepaskan aset dan ekuiti di dalam pegangan mereka walaupun tawaran yang dibuat adalah wajar dan munasabah.

    Memburukkan keadaan lagi ialah keengganan Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasa yang sedia ada di bawah Akta Perkhidmatan Air Negara untuk membawa konsesi-konsesi air tertentu bagi mereka duduk bersama di meja perundingan.

  2. Bilakah perundingan ini dapat diselesaikan ?

    Kerajaan Negeri percaya rundingan ini akan dimuktamadkan jua akhirnya. Cuma tarikh penyelesaian tidak dapat dipastikan.

    Kerajaan Negeri sentiasa bersedia berunding dengan Kerajaan Persekutuan dengan objektif untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air untuk kebaikan dan manfaat ke semua rakyat negeri Selangor.

    Inisiatif terkini termasuk mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor pada 15 Jun 2011 yang lepas. Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri telah ditubuhkan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak Kementerian bagi mencapai jalan penyelesaian.

    Walau bagaimanapun, kerajaan negeri memerlukan kerajaan Persekutuan untuk memberi petanda-petanda yang nyata bahawa ianya juga sedia berunding.  Kerajaan Persekutuan perlu tegas dengan semua pemegang konsesi air di Selangor dan manamana pihak yang ingkar dan enggan berunding akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

    Sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan isu ini dengan segera, kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Perkhidmatan Air Negara adalah cukup jelas untuk diguna pakai bagi penyatuan segera industri air negeri Selangor demi kebaikan dan manfaat seluruh rakyat Selangor.

  3. Apakah kerugian yang ditanggung negeri jika perundingan ini gagal diselesaikan

    Kelewatan di dalam memuktamadkan rundingan penstrukturan perkhidmatan air negeri Selangor bukan sahaja merugikan mutu perkhidmatan air, umpamanya kelewatan membaik pulih sistem sedia ada seperti NRW dan sebagainya, tetapi juga merugikan Kerajaan Persekutuan yang menanggung beban hutang dan liabiliti berhubung industri air di negeri Selangor. Rakyat negeri Selangor juga menanggung risiko berdepan dengan kenaikan tarif air yang mendadak dan tidak adil tanpa pengurusan air yang telus, wibawa dan cekap.

Lampiran

Tiada Lampiran.