Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
201) PERUMAHAN RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pertimbangan Kerajaan Negeri dalam meletakkan rumah jenis Trio dan Quad sahaja di kawasan Zon 4 Luar Bandar dalam RSKU3.0?
Untuk makluman Yang Berhormat, Dasar Rumah Selangorku 3.0 diwujudkan untuk memastikan pembangunan perumahan mampu milik dapat diseimbangkan di setiap daerah di dalam Negeri Selangor ini. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, Zon 4 dikategorikan sebagai kawasan luar bandar yang merangkumi keseluruhan Daerah Sabak Bernam, sebahagian Daerah Kuala Selangor dan sebahagian daerah Hulu Selangor.
Antara pertimbangan Kerajaan Negeri meletakkan rumah jenis Trio dan Quad di kawasan Zon 4 adalah disebabkan faktor permintaan setempat yang mana majoriti penduduk atau pembeli Rumah Selangorku di kawasan luar bandar lebih tertumpu kepada rumah yang lebih luas serta ianya bersesuaian dengan rumah jenis Trio dan Quad yang berkeluasan di antara 750 hingga 900 kaki persegi.
Selain itu, kebanyakan rumah jenis Trio dan Quad di bina secara bertanah sama ada terdiri daripada jenis rumah bandar atau teres. Ini kerana di kawasan luar bandar masih mempunyai kedapatan tanah yang banyak serta dapat di bina pada densiti yang rendah.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, penyediaan Rumah Selangorku Jenis Solo dan Duo di kawasan bandar Zon 1 dan Zon 2 adalah bagi menampung keperluan rumah hasil dari kebanjiran penghijrahan penduduk dari seluruh negeri di Malaysia untuk menetap dan bekerja di bandar-bandar besar di negeri Selangor dengan mengambil kira nilai hartanah semasa yang tinggi.