Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

150) PERUMAHAN RAKYAT MAMPU MILIK GOLONGAN B40

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk membangunkan perumahan rakyat mampu milik untuk golongan B40 di setiap daerah?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan bahawa rakyat Negeri Selangor memiliki rumah sendiri khususnya untuk golongan B40. Sebagai langkah proaktif Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula pada 02 April 2018. Melalui dasar tersebut terdapat Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) yang dijual bermula dari RM42,000.00 hingga RM250,000.00 seunit dengan keluasan binaan dari 700 kaki persegi hingga 900 kaki persegi

     

    (jenis perumahan bertingkat) manakala 700 hingga 1,000 kaki persegi dan saiz 20’ x 60’ (jenis perumahan teres / bertanah). Rumah Selangorku merupakan rumah harga kawalan di mana harga jualan dan pembelinya dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

     

    Melalui dasar tersebut, pihak pemaju / pemilik tanah dikenakan syarat untuk membina Rumah Selangorku berdasarkan kepada keluasan pembangunan dan ianya mengikut zon / kawasan pembangunan. Bagi zon 1 pembangunan, tapak pembangunan di bawah 5 ekar dikenakan syarat 20% Rumah Selangorku, 5 ekar hingga 10 ekar 20% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 40% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

     

    Bagi zon 2 pembangunan pula, tapak pembangunan melebihi 5 ekar hingga 10 ekar dikenakan syarat 15% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30%

     

     

    Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 30% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

     

    Manakala bagi zon 3 pembangunan pula, tapak pembangunan melebihi 10 ekar hingga 20 ekar dikenakan syarat 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 30% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

     

    Oleh itu, sekiranya terdapat cadangan pembangunan perumahan yang dikemukakan oleh pihak pemaju / pemilik tanah adalah menjadi keutamaan / tanggungjawab pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk memastikan komposisi / syarat pembangunan Rumah Selangorku tersebut dipatuhi berdasarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) bagi memastikan Rumah Selangorku berada di pasaran sekaligus boleh ditawarkan kepada pembeli yang layak termasuk golongan B40.

     

  2. Apakah langkah jangka panjang kerajaan untuk memastikan rakyat golongan B40 memiliki rumah?

    • Untuk makluman Yang Berhormat, antara langkah jangka panjang Kerajaan untuk memastikan rakyat golongan B40 memiliki rumah adalah melalui beberapa pendekatan seperti berikut ;

     

    • Skim Smart Sewa

     

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun.

     

    Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri melalui LPHS akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

     

     

    Pembelian sebanyak 983 unit rumah mampu milik telah dilaksanakan di bawah Skim Smart Sewa oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di mana syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi melancarkan pelaksanaan skim ini.

     

    Sehingga kini, 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450.00 sebulan sehingga RM700.00 sebulan. Pada awal tahun 2019 sebanyak 101 telah disiapkan dan bakal untuk disewakan dalam masa terdekat manakala sebanyak 240 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2019 hingga awal tahun 2020. Memandangkan Skim Smart Sewa ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan millennials, Kerajaan Negeri pada tahun 2019 telah meneruskan pembiayaan Skim Smart Sewa dengan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta untuk membeli unit-unit Rumah Selangorku sebanyak 301 unit.

     

     

     

     

    • Skim Sewa Milik (Maybank)

     

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengadakan kerjasama dengan pihak Maybank Berhad bagi mewujudkan satu skim sewa milik atau dikenali juga sebagai ‘Rent

     

    To Own’ khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku di Negeri Selangor. Skim ini dapat membantu golongan B40 yang berpendapatan isi rumah RM 3,000-00 sebulan ke bawah untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku. Sehubungan dengan itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan oleh pihak LPHS bersama pihak Maybank dan memerlukan penelitian yang terperinci daripada semua pihak terlibat. Ini bagi memastikan mekanisma pelaksanaan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif serta mencapai objektif kepada golongan sasaran yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri. Setelah itu, cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.

     

    • Skim Dana Sel

     

    Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan

     

     

    Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.

Lampiran

Tiada Lampiran.