Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
244) PERUMAHAN PPR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dilaporkan bahawa Kerajaan Pusat ada memperuntukkan sebanyak RM 200 juta bagi memperbaiki semua PPR (Projek Perumahan Rakyat) di seluruh negara . Daripada jumlah ini berapa banyak diperuntukkan untuk memperbaiki PPR di Selangor dan khususnya berapa peruntukkan yang akan digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk membaik pulih PPR Kota Damansara Seksyen 8 dan PPR Lembah Subang
Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa 1, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi kerja-kerja membaiki kerosakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara. Sebanyak RM23,494,020.59 daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk membaiki kerosakan unit rumah kosong, lif dan sistem elektrik di PPR Lembah Subang 1. Lantikan kontraktor dilakukan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan kerja-kerja pembaikan juga sedang dijalankan oleh kontraktor. Butiran peruntukan kos kerja-kerja pembaikan dan senarai kontraktor adalah seperti berikut :-
Bil. Nama Pakej Peruntukan/ Blok
Nama Kontraktor Jumlah Peruntukan (RM) 1. Pakej A (Blok A,B dan C) Wiraman Network Sdn. Bhd. 7,228,615.24 2. Pakej B (Blok D,E dan F) Bina Hasim Sdn. Bhd. 9,310,309.39 3. Pakej C (Blok C, G dan H) Limpahan Usahasama Sdn. Bhd. 6,955,095.96 Jumlah Keseluruhan Peruntukan 23,494,020.59 Pengagihan peruntukan mengikut blok dan kontraktor dibuat berdasarkan kerosakan yang ditentukan oleh Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). PPR Kota Damansara, Seksyen 8 tidak disenaraikan dalam peruntukan pakej rangsangan ini kerana bangunan tersebut tidak dikawal selia oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan projek dibina melalui peruntukan Yayasan Perumahan Untuk Termiskin (YPUT) di bawah Bank Negara, Malaysia.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan sistem sewa beli rumah PPR oleh penduduk yang sedang mendudukinya agar dapat memiliki rumah tersebut.
Pembinaan bangunan PPR di Negeri Selangor adalah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan hanya diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk diurus tadbir seperti mengutip sewa untuk tujuan penyenggaraan. Bangunan PPR tersebut juga adalah dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan yang dipantau sepenuhnya oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Cadangan memperkenalkan konsep sewa beli ke atas unit rumah PPR tidak boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri memandangkan bangunan tersebut adalah milik KPKT. KPKT juga tidak berhasrat melaksanakan skim tersebut memandangkan KPKT sedang di peringkat akhir untuk melaksanakan penjualan unit-unit rumah PPR kepada penyewa.