Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
115) PERUMAHAN MAMPU MILIK
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perbezaan dan naik taraf kualiti yang membezakan antara rumah mampu milik dan rumah kos rendah ?
Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru yang diperkenalkan adalah sangat berbeza dengan penyediaan rumah kos rendah. Ini kerana matlamat utama pelaksanaan projek rumah mampu milik ini adalah untuk memenuhi keperluan penyediaan kediaman bagi golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan di antara RM2,500 sehingga RM5,000 sebulan. Manakala penyediaan rumah kos rendah adalah untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500.
Sebagai langkah permulaan, konsep asas perumahan mampu milik akan menerapkan perkara berikut:
- Anggaran harga jualan antara RM85,000 – RM120,000.
- Keluasan rumah 850 – 1,000 kaki persegi
- . Reka bentuk terkini seperti konsep ‘green building’.
- Mengambil kira aspek kemampanan dari segi binaan dan persekitaran.
- Penyediaan kemudahan yang bersesuaian dan mencukupi termasuk untuk warga emas dan OKU.
- Kos penyelenggaraan yang murah.
- Kepelbagaian jenis rumah dalam satu blok bangunan (1 bilik, 2 bilik, 3 bilik, 4 bilik).
- Kos penyelenggaraan yang murah.
- Perolehan keuntungan pemaju tidak melebihi 10%.
Penambahbaikkan konsep ini akan dibuat sebaik sahaja Kajian Menyeluruh Berkenaan Rumah Mampu Milik yang sedang dijalankan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kerjasama Unit Perundingan Universiti Malaya yang dijangka selesai pada penghujung tahun ini.
-
Berapa banyak sasaran kerajaan negeri membina rumah mampu milik menjelang akhir tahun 2011 ? Sila pecahkan mengikut daerah
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui PKNS telah mensasarkan untuk membina sejumlah kira-kira 11,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun dari tahun 2011 hingga tahun 2016 tambahan 10,000 unit lagi untuk tempoh 5 tahun yang berikutnya.
Selain projek perintis di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, PKNS juga telah mengenalpasti beberapa lokasi bagi pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru iaitu di Seksyen U10 Shah Alam, Kg. Temenggong di Gombak, Taman Sains Selangor 2 di Sepang, Kota Puteri di Kuala Selangor, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor.
Bagi tujuan yang sama, PKNS juga sedang mengadakan rundingan dengan pemajupemaju swasta lain bagi mengadakan koloberasi dalam membangunan projek perumahan mampu milik di tapak pembangunan milik pemaju-pemaju swasta ini. Melalui inisiatif ini, disasarkan sebanyak 30,000 lagi unit rumah mampu milik akan dibina untuk tempoh 15 tahun.
-
Berapa banyak keluarga / isi rumah yang memerlukan rumah di negeri Selangor ?
Sebaik sahaja Projek Perintis Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor pada 3 Jun 2011 di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, sebanyak 1,955 borang permohonan telah dijual kepada bakal pembeli yang berminat. Daripada jumlah tersebut sebanyak 400 borang iaitu kira-kira 20.46% telah dikembalikan semula kepada LPHS untuk dimasukkan ke dalam sistem yang diwujudkan bagi tujuan saringan kelayakan mereka. Jumlah pendaftaran ini dijangka akan terus meningkat di masa-masa akan datang setelah lebih banyak promosi dijalankan oleh Kerajaan Negeri.
-
d) Berapa banyak peruntukan yang diperlukan untuk memenuhi dasar rumah mampu milik kerajaan negeri ?
Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan yang bermesyuarat pada 23 Jun 2011 telah menolak soalan ini.