Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

107) PERUMAHAN MAMPU MILIK

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan yang telah dibina dan diserah milik sejak pakatan rakyat memerintah?

    Untuk makluman Y.B, konsep perumahan mampu milik mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada Tahun 2011. Keadaan ini timbul akibat daripada tindakan proaktif kerajaan negeri untuk mengkaji semula syarat- syarat pembangunan sedia ada seperti pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, 20 peratus rumah kos sederhana rendah dan 10 peratus rumah kos sederhana yang telah digunapakai sejak tahun 2000 lagi supaya ianya masih relevan untuk dipraktikkan berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa.

    Sehubungan itu, sehingga kini, hanya terdapat tiga projek perumahan mampu milik sahaja yang telah siap dibina dan telah ditawarkan kepada pembeli yang layak. Pembinaan rumah mampu milik tersebut yang mengandungi 1,682 unit ini telah di bina oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan satu projek oleh pemaju swasta iaitu Tetuan Sin Hup Lee Sdn. Bhd. Perincian ketiga- tiga projek tersebut adalah seperti berikut :

    Daerah Projek Pemaju Unit Keluasan (kaki persegi) Harga

    Jualan

    (RM)

    Gombak Bukit              Botak,

    Selayang

    PKNS 1,422 850 – 2,200 99,000.00
    Hulu Langat Seksyen 3, Bandar Baru Bangi PKNS 124 700 – 800 60,000.00 –

    99,000.00

    Sg Long, Kajang Sin Hup Lee Sdn. Bhd. 136 805 – 881 90,000.00
    Jumlah 1,682  

    Untuk makluman Y.B juga, sehingga kini kesemua 1,682 unit rumah mampu milik telah ditawarkan kepada pembeli- pembeli yang layak melalui Sistem

    Pendaftaran Permohonan Rumah Mampu Milik (SPPRM) di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

    Kerajaan negeri melalui PKNS dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah merancang serta mensasarkan pembinaan rumah mampu milik sebanyak 11,356 unit menjelang tahun 2021.

  2. Bagaimanakah proses agihan pembelian, kawalan dan sasaran kepada pemilikan rumah pertama pembeli?

    Untuk makluman Y.B, proses agihan dan kawalan pembelian rumah mampu milik dikawal selia melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Mampu Milik (SPPRM) di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Semua pemohon yang berminat untuk membeli rumah mampu milik hendaklah berdaftar dalam SPPRM dan proses pemilihan pemohon-pemohon yang layak akan ditentukan mengikut kriteria pemarkahan yang telah ditetapkan. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang telah berkeluarga dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.

    Seterusnya nama-nama pemohon dipilih melalui sistem ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah untuk disemak dan diperakukan oleh jawatankuasa mesyuarat sebelum dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah ini dianggotai oleh LPHS, wakil Pejabat SUK, wakil Pejabat Tanah/Daerah yang berkaitan dan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Senarai nama yang telah diluluskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri akan dikemukakan kepada pemaju berkenaan dan surat tawaran juga akan dihantar kepada pemohon-pemohon yang berjaya. Sekiranya tiada maklumbalas yang diterima dari pemohon dalam tempoh 2 bulan dari tarikh tawaran, maka pemohon berkenaan dianggap tidak berminat dengan tawaran tersebut dan pemaju boleh mengemukakan maklum balas status tawaran kepada LPHS untuk dikemaskini dan senarai nama baru akan dikeluarkan kepada pemaju sebagai gantian.

  3. berapa peratuskah pembinaan daripada seluruh pemajuan perumahan di Negeri Selangor?

    Untuk makluman Y.B, kerajaan negeri sedang dalam menyediakan Dasar Perumahan Negeri Selangor yang dijangkakan akan dilancarkan pada September 2013. Untuk itu, kerajaan negeri pada masa ini telah menetapkan bahawa pembangunan rumah mampu milik perlu disediakan sekurangkurangnya 30 peratus daripada keseluruhan unit rumah yang akan dibina bagi sesuatu skim pembangunan yang hendak dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.