Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
143) PERUMAHAN KOS RENDAH
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Ir. Muthiah A/l Maria Pillay
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Ada keperluan untuk perumahan kos rendah untuk kaum miskin di kawasan Bukit Melawati yang dibina dahulunya , banyaknya dijual kepada orang yang berhubungan rapat dengan ahli politik. Satu contoh adalah di Taman Kasawari, di mana lebih dari 20% rumah tidak di duduki oleh pemilik rumah atau kosong sahaja
Untuk makluman Yang Berhormat, Program Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) merupakan satu program yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan golongan yang disasarkan iaitu mereka yang miskin dan berpendapatan rendah boleh memiliki sendiri rumah mampu milik.
Pembiayaan program ini adalah dalam bentuk pinjaman yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dengan dikenakan kadar faedah bayaran balik sebanyak 4% setahun. Program RAKR Taman Kasawari, Bukit Rotan yang terdiri daripada 260 unit merupakan salah satu daripada keseluruhan 174 projek RAKR yang terdapat di seluruh Selangor dan senarai nama pemohon yang layak bagi membeli rumah di bawah program ini adalah dipilih dan diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.
Berdasarkan bancian dan rekod yang ada di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), daripada keseluruhan 260 unit rumah yang ada, sebanyak 239 unit telah pun melunaskan bayaran pembelian rumah tersebut kepada kerajaan negeri melalui pembiayaan pinjaman sama ada melalui pinjaman bank ataupun pinjaman perumahan kerajaan. Manakala sebanyak 21 unit lagi telah ditarik balik tawaran daripada pemilik asal ekoran kegagalan pemilik asal menyelesaikan bayaran walaupun lanjutan tempoh masa telah diberikan beberapa kali.
Bagaimanapun unit-unit yang ditarik balik tersebut telah pun dibuat tawaran baru kepada pemohon-pemohon yang berkelayakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Senarai Nama di LPHS dan pada masa ini kesemua pemohon tersebut sedang menguruskan pembiayaan bagi hartanah tersebut. Pada masa ini hanya 21 unit sahaja atau 8% daripada keseluruhan unit yang diklasifikasikan sebagai benar-benar kosong dan tidak diduduki kerana urusan pemilikan sedang dilaksanakan oleh penama-penama baru.
Untuk makluman Yang Berhormat, mana-mana unit-unit yang terbiar kosong yang tidak termasuk dalam senarai 21 unit yang ditawarkan kepada penama baru adalah dimiliki oleh pemilik yang telah menyelesaikan bayaran kepada kerajaan negeri melalui pinjaman bank dan oleh yang demikian hartanah tersebut dimiliki oleh pihak bank sebagai pihak yang berkepentingan . Sehubungan dengan itu, LPHS tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik unit-unit berkenaan kerana bayaran rumah telah pun selesai dibayar kepada Kerajaan Negeri.
-
Bolehkah kita bina lebih kurang 200 unit di kawasan Kg Kuantan / Kg Asahan dan lebih kurang 150 unit di kawasan Bukit Rotan ?
Masalah kekurangan rumah kos rendah di DUN Melawati khususnya kawasan Kg. Kuantan / Kg. Asahan dan sekitarnya akan dikaji dengan teliti oleh Kerajaan Negeri berdasarkan keperluan dan permintaan rumah jenis tersebut yang mana kawasan terletak dalam Mukim Api-api, Daerah Kuala Selangor. Berdasarkan Statistik permohonan rumah kos rendah di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), mendapati terdapat seramai 2,769 orang pemohon telah berdaftar untuk membeli rumah jenis kos rendah di keseluruhan Daerah Kuala Selangor yang mana pecahannya adalah seperti berikut:
Bil. Mukim Bilangan Pemohon (orang) 1. Api-Api 154 2. Batang Berjuntai 178 3. Hujung Permatang 322 4. Hulu Tinggi 8 5. Ijok 905 6. Jeram 291 7. Kuala Selangor 637 8. Pasangan 84 9 Tanjung Karang 190 Jumlah 2,769 Walaupun permintaan keseluruhan bagi Daerah Kuala Selangor adalah agak tinggi namun didapati kurang sambutan daripada pemaju swasta untuk mendirikan rumah mampu milik seperti rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di kawasan ini. Perkara ini terjadi disebabkan kebanyakan pembeli di kawasan ini lebih menggemari rumah jenis ‘landed’ sedangkan kebanyakan rumah mampu milik yang ada ketika ini didirikan secara berbilang tingkat. Kos perolehan tanah, kos infrastruktur dan kos pembinaan yang tinggi bagi membangunkan sesuatu kawasan pada ketika ini menyukarkan pemaju untuk menyediakan rumah mampu milik jenis ‘landed’’. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada penyediaan rumah mampu milik di DUN Melawati tersebut khususnya di kawasan Kg. Kuantan / Kg. Asahan dan di kawasan Bukit Rotan.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan tetap menetapkan syarat membina rumah kos rendah kepada semua pemaju yang akan membangunkan tanah dan mempunyai keluasan melebihi 10 ekar. Syarat ini termasuk pemaju yang akan membangunkan tanah mereka di DUN Melawati. Kajian keperluan dan permintaan rumah di kawasan terbabit juga akan dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan golongan yang berpendapatan rendah dapat membeli dan memiliki rumah kos rendah di kawasan tersebut. Penglibatan anak syarikat Kerajaan Negeri seperti PKNS dan PNSB juga akan digalakkan membina rumah kos rendah di kawasan tersebut sekiranya masih terdapat tanah yang boleh dibangunkan.