Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

201) PERUMAHAN GOLONGAN MUDA

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan negeri membantu golongan muda memiliki rumah pertama?

    Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini Kerajaan Negeri belum menyediakan skim khas bagi membantu golongan muda memiliki rumah pertama. Walau bagaimanapun, golongan muda berumur 18 tahun ke atas yang memenuhi syarat kelayakan permohonan rumah kos rendah boleh memohon rumah kos rendah yang disasarkan untuk golongan yang belum memiliki rumah.

  2. Apakah golongan muda belum berkahwin boleh memohon perumahan kerajaan atau anak syarikat negeri?

    Kelayakan bagi permohonan rumah kos rendah adalah pemohon yang memenuhi kriteria berikut:

    1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas;
    2. Bermastautin di Negeri Selangor;
    3. Berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00 sebulan;
    4. Pemohon atau pasangan belum memiliki rumah; dan
    5. Berdaftar di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

    Manakala kelayakan bagi pemohon Rumah Mampu Milik Selangorku pula adalah pemohon yang memenuhi kriteria seperti berikut:

    1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas;
    2. Berpendapatan isi rumah di antara RM3,000.00 hingga RM8,000.00 sebulan;
    3. Pembeli atau pasangan belum memiliki rumah di Negeri Selangor kecuali rumah kos rendah yang telah melebihi tempoh lima (5) tahun;
    4. Pembelian rumah untuk didiami dan bukan untuk disewa; dan v) Berdaftar di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

    Oleh demikian, golongan muda yang belum berkahwin yang memenuhi kriteria tersebut juga boleh memohon untuk memiliki rumah kos rendah atau rumah mampu milik di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.