Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

211) PERUMAHAN DAN HAK MILIK TANAH FELDA DI HULU SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status projek pecah tanah untuk rumah 2012 oleh Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor di FELDA Sg Tengi Selatan?

    Majlis pecah tanah yang dilakukan pada 2012 telah diadakan di atas tanah milik Felda, maka tiada perkembangan yang berlaku selepas itu. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah meminta Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk membuat kajian terperinci cadangan membina rumah mampu milik bagi generasi kedua Felda.  Bagi maksud tersebut, tanah seluas 40 ekar di Felda Sg. Tengi Selatan telah dikeluarkan daripada pewartaan di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang dahulunya adalah sebahagian dalam Hutan Simpan Bukit Belata yang telah dibatalkan.

  2. Apakah status permohonan geran peneroka peringkat 6 di FELDA Soeharto dan Felda Sungai Tengi Selatan?

    Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 25/2012 pada 4 Julai 2012 melalui kertas MMK No. 40/25/2012 telah membuat pertimbangan seperti berikut:

    1. Menolak Permohonan Di Bawah Akta Tanah (kawasan Penempatan
    2. Berkelompok) 1960 Felda Sg. Tengi Selatan.
    3. Meluluskan secara pewartaan di bawah Seksyen 4, 5, 6 dan 8 Akta Tanah Penempatan Berkelompok 1960 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan untuk perladangan dan penempatan peneroka seramai 139 orang di Felda Sg. Tengi Selatan, Mukim Sungai Tinggi Daerah Hulu Selangor seluas lebih kurang 679.97 hektar (1,679 ekar).
    4. Meluluskan permohonan secara pemberimilikan kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) Felda Sg. Tengi Selatan, Mukim Sungai Tinggi Daerah Hulu Selangor seluas lebih kurang 1,128 hektar (2,780 ekar).
    5. Disyorkan untuk tapak kilang sawit dan perumahan kakitangan kilang seluas lebih kurang 60 hektar (148.26 ekar) kepada Felda dengan bayaran dan syarat-syarat yang dikenakan.

    Proses pengeluaran hak milik kepada 139 peneroka di Felda Sg. Tengi ditangguhkan kerana urusan pewartaan di bawah Akta Tanah (GSA 1960) masih belum selesai.  Permohonan Ukur (No PU 14/2014) telah dihantar dan penyediaan pelan warta masih di dalam tindakan pihak Jabatan Ukur Dan Pemetaan (JUPEM) pada 9.4.2014.

    Manakala di Felda Soeharto pula tiada permohonan hak milik yang tertangguh di Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor.

  3. Kenapa tanah yang diambil oleh MB Incorp (MBI) seluas 1800 ekar tidak diagih- agihkan kepada peneroka seperti yang dijanjikan?

    Dimaklumkan bahawa tanah Felda Sg. Tengi Selatan seluas lebih kurang 4,695 ekar yang mana didapati seluas lebih kurang 2,780 ekar adalah berstatus tanah kerajaan Negeri Selangor.

    Mesyuarat MMKN ke 25/2012 pada 4/7/2012 memutuskan tanah seluas 2,780 ekar tersebut diberimilik kepada MBI dan diusahakan bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) bagi menaiktaraf sektor penanaman kelapa sawit dengan lebih teratur.

    MBI mahupun Kerajaan Negeri tidak pernah berhasrat untuk mengagih-agihkan tanah tersebut kerana peneroka terlebih dahulu telah menerima tanah seluas lebih kurang 1,679 ekar yang diuruskan oleh pihak FELDA.

Lampiran

Tiada Lampiran.