Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
143) PERUMAHAN BUMIPUTERA DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah mekanisme yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk menentukan pencapaian dasar perumahan kuota bumiputera?
Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor sedang mengemaskini inventori, menerusi Laporan Pemantauan Kuota Jualan Bumiputera. Inventori ini diwujudkan hasil daripada maklumbalas Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 Tahun 2015 yang mencadangkan agar Kerajaan Negeri perlu mempunyai inventori yang menyenaraikan projek pembangunan yang diluluskan berserta pematuhan kuota jualan bagi mengukur pencapaian dasar perumahan kuota bumiputera di Negeri Selangor.
-
Bilakah masalah penyelenggaraan maklumat pemilikan hartanah kuota bumiputera ini dapat diselesaikan?
Sebelum ini mekanisma penyelenggaraan maklumat pemilikan hartanah kuota bumiputera adalah berdasarkan fail permohonan kebenaran pindah milik menyeluruh. Ini selaras dengan tujuan dasar permohon kebenaran pindah milik menyeluruh diwujudkan, iaitu supaya Kerajaan Negeri dapat memantau pematuhan Kuota Jualan yang ditetapkan, bagi setiap pembangunan yang diluluskan. Sekiranya kuota jualan tidak dipatuhi, permohonan kebenaran pindah milik akan ditolak. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor sedang menyelaras semula inventori supaya laporan pemantauan kuota jualan bukan lagi berdasarkan laporan individu mengikut fail permohonan kebenaran pindahmilik menyeluruh tetapi dapat dikemukakan berdasarkan senarai permohonan pembangunan tanah yang telah diluluskan di dalam Negeri Selangor.