Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
51) PERUMAHAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah rumah mampu milik yang telah dan akan dibina untuk membantu rakyat miskin di Selangor memiliki rumah sendiri?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti ada menawarkan bantuan bina baharu dan baik pulih rumah bagi rakyat miskin di Selangor dibawah Program Bantuan Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Kerajaan Prihatin yang merupakan salah satu program dibawah program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).
Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu rakyat Selangor yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman yang selesa dan selamat sebagai tempat berteduh. Terdapat dua (2) jenis bantuan di bawah program ini iaitu baik pulih rumah dengan kos tidak melebihi RM35,000.00 bagi sebuah rumah dan bantuan bina baru rumah yang berkeluasan 660 kakipersegi dengan had siling RM85,0000.00 bagi sebuah rumah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang yang boleh didapatkan di Pejabat Daerah dan Tanah atau Pejabat Penghulu Mukim.
Antara syarat-syarat utama bagi permohonan bagi Program Bantuan Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Kerajaan Prihatin adalah seperti berikut :-
- Pemohon merupakan pengundi di dalam negeri Selangor dan telah bermastautin melebihi 15 tahun ;
- Pendapatan seisi rumah hendaklah tidak melebihi RM2,000.00 sebulan ;
- Umur pemohon adalah di antara 45 tahun hingga 75 tahun sahaja kecuali Orang Kurang Upaya (OKU) ;
- Hanya ketua keluarga sahaja yang layak memohon dan ketua keluarga mestilah bagi isteri pertama sahaja ;
- Keadaan rumah adalah daif dan tidak sesuai diduduki ;
- Rumah pemohon mestilah berada di kawasan perkampungan tradisi/ kampung baru yang mana rumah tersebut di atas tanah milik sendiri/ tanah T.O.L yang diberi kebenaran oleh Pejabat Daerah dan Tanah ;
-
Berapakah jumlah yang siap dibina telah berjaya diduduki oleh golongan tersebut?
Untuk makluman jua, sehingga tahun 2024 sebanyak 260 penerima telah diluluskan bantuan bina baru rumah, manakala 479 buah rumah telah diluluskan baik pulih rumah. Secara keseluruhan telah memberi manfaat kepada 739 orang penerima.