Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

382) PERUMAHAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah status Sentoria Morib Resort City yang sehingga kini terbengkalai sehinggakan menjadi ladang pokok pisang dan ubi kayu?

    Untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini terdapat empat (4) fasa pembangunan dibangunkan di Sentoria Morib Bay Resort City yang terdiri daripada 2 fasa Perumahan Harga Bebas (Plot N, Mawar dan plot M, Seroja), dan 2 fasa Perumahan Mampu Milik RSKU (Plot L, Morib Anggun dan Plot N, Orkid). Keseluruhan projek telah dikategorikan sebagai Projek Sakit di peringkat Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Namun demikian, RSKU plot N telah diberikan pelepasan sementara daripada Projek Sakit untuk pihak pemaju menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan bagi meneruskan projek. Pembangunan ini sedang dipantau rapi oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) & Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan kerjasama KPKT. Pihak KPKT dan MPKL juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan isu berkaitan dan tindakan lanjut berhubung penyelesaian pembangunan ini.

    Hasil daripada tindakan tersebut, beberapa langkah yang telah dan akan diambil oleh pihak pemaju iaitu :-

     

    1. Pihak pemaju telah menyelesaikan perkara berkaitan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. yang mana ‘Bank Guarantee’ (BG) telah dikemukakan dan Pelan Sistem Bekalan Air Luaran Interim telah pun mendapat kelulusan. Oleh yang demikian, kerja-kerja infrastruktur yang berkaitan boleh dilaksanakan oleh pemaju.
    2. Terdapat pelabur baru yang akan menyokong projek dengan suntikan dana signifikan. Pengurusan tertinggi syarikat turut diganti bagi memastikan kerja di lapangan diteruskan.
    3. Terdapat pindaan Jadual Pelaksanaan Projek yang mana projek dijangkakan akan siap sepenuhnya pada Disember 2024.
    4. Pihak pemaju juga sedang menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan pihak perbankan bagi melancarkan kerja pembinaan di lapangan.
  2. Apakah tindakan dan penyelesaian yang akan ambil oleh Kerajaan Negeri Selangor berkenaan projek ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor dengan menyalurkan bantuan kepada pembeli walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja. Beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui LPHS ke arah membantu  pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek terbengkalai yang mana Kerajaan Negeri memahami kesulitan yang mereka hadapi dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara bagi mengatasi masalahi ini, antaranya seperti berikut:

     

    • Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) Negeri Selangor yang berperanan bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini yang diurusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai samaada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. LPHS sebagai agensi pemantauan senantiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya dapat disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.

     

    • Penubuhan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai di Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) yang berperanan bagi membincangkan dan mendapatkan memantau pemulihan projek terbengkalai yang dilaksanakan pemaju di peringkat PBT. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan sebarang isu berkaitan pemulihan projek terbengkalai seperti pindaan pelan pembangunan.

     

    • Inisiatif LPHS dalam mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai dalam membantu pembeli berurusan dengan pihak pembiayaan pinjaman bagi menstrukturkan semula atau pengurangan ansuran bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.

     

    • LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.

     

    • LPHS turut mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.

     

    Seperti Yang Berhormat sedia maklum, pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke Mahkamah.

  3. Apakah tindakan dan penyelesaian mengenai permasalahan di Taman Riviera Bandar Peranginan Sri Morib yang juga berada didalam kawasan Sentoria Morib Resort City yang bermasalah dari segi penyelenggaraan lampu jalan,pemotongan rumput,papan tanda,sistem perparitan dan jalan yang perlu penyelenggaraan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, berkaitan Taman Riviera Bandar Peranginan Sri Morib merupakan kawasan perumahan skim strata bertanah (Landed Strata). Penyelenggaraan infrastruktur di dalam kawasan skim strata adalah dibawah tanggungjawab pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Riviera.

    Manakala luar kawasan skim strata di selenggara oleh pihak pemaju Sentoria Morib Resort City. Ini kerana pihak pemaju belum lagi menyerahkan kawasan tersebut kepada pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) termasuk jalan, lampu jalan, longkang dan kawasan lapang.

Lampiran

Tiada Lampiran.