Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

41) PERUMAHAN

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah LPHS hendak menyelesaikan masalah Pangsapuri yang hingga kini masih tiada agen atau pun JMB?

    Permasalahan pangsapuri tiada penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) adalah disebabkan beberapa faktor yang mana penyelesaiannya perlu penglibatan pelbagai agensi dan bukannya LPHS semata-mata. Seksyen 4(3) Akta 757 memperuntukkan kuasa kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam melaksanakan apa-apa kewajipan yang dikenakan dan boleh menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan kepadanya oleh Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

    Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) di bawah seksyen 18(2) jelas menyatakan bahawa kegagalan pemaju mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Seterusnya, COB boleh melantik mana-mana orang untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama di bawah Seksyen 18(5) jika pemaju gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama bagi badan pengurusan bersama dalam tempoh yang ditetapkan, dan pemaju hendak menanggung semua kos yang terlibat bagi tujuan penubuhan JMB. Walau bagaimanapun, COB sukar mengambil tindakan kepada pemaju-pemaju yang digulungkan kerana melibatkan kos dan permasalahan dokumentasi sebelum mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama.

    LPHS selaku agensi yang memantau pemajuan perumahan di negeri Selangor berperanan untuk menyelaras dasar dan program-program latihan dan kesedaran berkenaan tanggungjawab di kediaman berstrata atau berbilang tingkat. Antara program yang telah dilaksanakan oleh LPHS bersama-sama COB dalam membantu pangsapuri yang tiada JMB adalah seperti berikut:-

    1. Menubuhkan skim Pemerdayaan Komuniti atau K-Squad dengan penyediaan dana kepada COB bagi melantik agen-agen pengurusan untuk menyenggara dan mengurus pangsapuri yang tiada JMB. Program ini mengambilkira peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB), di Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai kuasa untuk melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] untuk mengambilalih pangsapuri yang bermasalah tersebut. Namun demikian, kuasa tersebut tidak dapat dilaksanakan berikutan tiada ejen pengurusan yang berminat untuk menguruskan bangunan memandangkan melibatkan kos penyenggaraan yang tinggi.

    Ejen pengurusan di bawah program K-Squad perlu mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah disediakan supaya pengurusan yang dilaksanakan oleh ejen berkenaan mencapai objektif membantu komuniti pangsapuri yang tiada badan pengurusan. Jangkaan output yang akan diperolehi daripada program K-squad adalah pangsapuri kos rendah yang bermasalah dapat diuruskan secara teratur terutama melibatkan pengurusan kewangan selain memberi pendidikan kepada pemilik tentang budaya kehidupan strata yang berterusan agar memudahkan pengurusan pangsapuri diambilalih oleh JMB/MC selepas 1-3 tahun.

    1. Mengambil inisiatif bersama-sama COB dengan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar kepada penduduk-penduduk yang dikenal pasti boleh menerajui JMB berkenaan kepentingan adanya badan pengurusan. Mereka akan diberi bimbingan di bawah Kursus Pemantapan Pengurusan Bangunan Dan Kediaman Berstrata atau C-SMART yang dianjurkan oleh COB mngikut PBT masing-masing.
    2. LPHS mencuba alternatif lain iaitu pendidikan strata kepada generasi muda di peringkat sekolah melalui program Skim Pengenalan Kehidupan Strata (SKORA);

Lampiran

Tiada Lampiran.