Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

86) PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kesan perubahan iklim yang akan menyebabkan kehilangan Tanah Darat dan kemasukan air laut di Pantai Barat Selangor serta kesannya kepada keselamatan makanan?

    Isu perubahan iklim kini telah menjadi masalah utama bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global. Ini adalah kerana di semua negara kini terkesan dan mengalami kejadian cuaca ekstrem lebih kerap, perubahan iklim monson tidak menentu, pencairan ais dan peningkatan paras air laut. Perubahan ini akan terus berlaku secara negatif yang akan mempengaruhi ekosistem dan biodiversiti jika tiada tindakan drastik dilaksanakan. Selain itu, pada masa yang sama, pemanasan global turut menyebabkan ekosistem terganggu, cuaca kering berpanjangan, pembakaran hutan secara meluas dan perubahan iklim yang ketara turut berlaku pada hari ini. Suhu bumi yang panas berterusan setiap tahun telah mendorong pencairan bongkah-bongkah ais atau glasier di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Keadaan ini sekali gus menyebabkan paras air laut meningkat. Berdasarkan kepada Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) United Nation yang meramalkan permukaan laut akan meningkat antara 30 hingga 60 sentimeter dan dianggarkan 10 juta populasi dunia yang berdekatan dengan pantai dan pulau tanah rendah dikhuatiri akan kehilangan tempat tinggal berikutan kenaikan paras air laut. Situasi ini boleh menyebabkan hakisan pantai dan banjir besar berlaku.

     

    Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), unjuran kenaikan paras air laut bagi kawasan Semenanjung Malaysia dijangka sebanyak 0.52 meter manakala unjuran kenaikan paras air laut maksimum di peringkat global adalah di sekitar 0.98 meter pada tahun 2100. Perubahan iklim merupakan ancaman terhadap ekosistem zon pesisir pantai pantai barat Selangor dan boleh menjejaskan pelbagai sektor sosio-ekonomi dan sumber air bersih di kawasan tersebut. Bagi kawasan pantai barat Selangor terutamanya di Kuala Selangor, peningkatan suhu permukaan sebanyak 1°C boleh mengakibatkan penyusutan pengeluaran hasil padi sehingga 6%. Suhu melebihi 2°C boleh menyebabkan penyusutan hasil kelapa sawit sehingga 30% jika jumlah hujan turut merosot. Keadaan iklim dan hidrologi yang ekstrem pada masa hadapan dijangka menyumbang kepada penyusutan hasil tanaman.

     

    Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor telah pun memulakan pelan perancangan seperti membaik pulihsistem-sistem pengairan dan penggunaan pam-pam air mudah alih untuk mengeluarkan lebihan air terutama di kawasan sawah. Selain dari itu, penggunaan varieti padi yang tahan banjir atau kemarau serta varieti benih padi yang tahan kepada air masin sekiranya kejadian limpahan air laut ke kawasan tanaman padi.

    Kesan daripada kenaikan paras air laut juga akan menyumbang kepada kerentanan pembanjiran pantai di kawasan rendah dan seterusnya menjejaskan guna tanah sedia ada. Hampir 91% daripada komponen yang terdedah adalah kawasan pertanian dan hutan manakala yang selebihnya terdiri daripada kawasan pengangkutan, kediaman, infrastruktur, perniagaan, institusi awam dan industri. Selain itu, kemasukan air masin ke dalam sumber air bawah semakin meningkat seiring dengan peningkatan paras air laut dan ianya turut menjejaskan sumber air bawah tanah yang bersih. Akibat daripada itu, ianya boleh menyumbang kepada penyusutan pengeluaran hasil padi dan menjejas keselamatan makanan.

  2. Apakah langkah-langkah yang sudah dirancangkan bagi menghadapi situasi tersebut?

    Perubahan iklim berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka akan berdepan bencana alam yang lebih serius. Kerajaan Negeri sentiasa mempergiatkan usaha menangani isu global ini. Pelbagai pembangunan, inisiatif dan program dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO). Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti:

     

    • meningkatkan aktiviti penanaman semula pokok seperti pokok bakau, pokok api-api, di persisir pantai dalam usaha mencegah hakisan akibat ombak dan fenomena air pasang besar;
    • implikasi perubahan iklim terhadap zon pesisir pantai seperti di Kuala Selangor dapat ditangani dengan menjalankan langkah adaptasi yang mengambil kira aspek permukaan dan sub-permukaan dan disepadukan dalam dasar-dasar pembangunan;
    • Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti;
    • Menggalakkan masyarakat mewujudkan kebun komuniti bandar.

     

    Fenomena perubahan iklim itu akan meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau berpanjangan dan peningkatan suhu pola hujan yang berubah serta kenaikan air laut. Secara tidak langsung mempengaruhi ketersediaan air, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan petani di negeri ini. Dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membangunkan dasar baharu negara iaitu Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang akan diaplikasikan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sekuriti makanan negeri.

     

    Dalam berhadapan pelbagai cabaran akibat senario global ini, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan sekuriti bekalan makanan dengan mewujudkan zon-zon tanah yang sesuai untuk aktiviti pertanian. Kerajaan Negeri juga telah membangunkan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang mana ianya memfokuskan kepada penggunaan teknologi moden dan keusahawanan bagi mendepani risiko sekuriti makanan negeri. Ianya adalah dasar baharu bagi memajukan sektor pertanian yang lebih teratur dan tersusun. Paling penting aspek guna tanah, penyediaan benih dan baka, sokongan makanan selain penyimpanan serta pemasaran yang perlu diberi perhatian supaya rantaian bekalan makanan dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam hal ini, kerajaan akan memberi tumpuan yang berterusan kepada pemodenan sektor agromakanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara di samping memacu pertumbuhan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat. Kerajaan sentiasa mengolah pelbagai inisiatif dan usaha untuk menjamin ketersediaan bekalan makanan di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.