Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

182) PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kesan Perubahan Iklim yang akan dihadapi oleh Selangor dan persiapan menghadapinya?

    Isu perubahan iklim perlu ditangani segera dengan mengambil kira impak fenomena pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG) ekoran aktiviti manusia. Ia akan memberi kesan kepada sistem iklim global yang seterusnya menyebabkan kejadian cuaca yang lebih ekstrem. Selain itu, pemanasan global juga akan memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi sekiranya tidak ditangani secara bersama pada kadar segera.

    Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang semua sedia maklum, kesan perubahan iklim yang dihadapi di Negeri Selangor boleh dilihat melalui perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti peningkatan aras laut, hujan lebat dan ribut kencang yang telah mengakibatkan banjir yang teruk di Negeri Selangor baru-baru ini. Kekerapan hujan yang turun pada masa sekarang tidak lagi mengikut musim monsun.

    Selain daripada itu, kesan perubahan iklim juga telah menyebabkan bencana alam yang lain seperti musim kemarau, taufan dan kebakaran hutan yang dijangka akan kerap berlaku.

    Sebagai persiapan rapi bagi menghadapi perubahan iklim, Kerajaan Negeri akan meneliti dan membuat semakan secara sistematik berkaitan dasar dan perancangan sedia ada, dengan mengambil kira cadangan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi secara seimbang bagi sektor-sektor seperti pertanian dan jaminan makanan, sumber asli dan alam sekitar, kesihatan awam, pengangkutan, perindustrian, gunatanah dan perubahan gunatanah, pengurusan sisa dan pengurangan risiko bencana. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menggalakkan penggunaan Renewable Energy (RE) dan Energy Efficiency (EE) untuk mengurangkan pelepasan GHG seperti meningkatkan penggunaan enjin hibrid dan kenderaan elektrik, menggalakkan industri menggunapakai amalan EE dan pelaksanaan pelbagai program untuk memacu agenda perubahan iklim melalui pembabitan semua pemegang taruh termasuk komuniti. Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) sebagai asas panduan dan hala tuju bandar rendah karbon di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Satu lagi pendekatan ialah pemupukan gaya hidup hijau dalam kalangan semua lapisan masyarakat ke arah pembangunan mampan secara holistik melalui program-program kelestarian alam sekitar. Ianya satu keperluan mewujudkan kerjasama pemegang taruh dengan pendekatan seluruh negeri untuk menangani cabaran perubahan iklim.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus pada tahun 2030 kelak dan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar (Net Zero GHG emissions) pada tahun 2050. Oleh itu, adalah penting untuk Negeri Selangor terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim ini. Agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan Kerajaan Negeri pada masa sekarang.

Lampiran

Tiada Lampiran.