Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
150) PERTUMBUHAN EKONOMI
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah sasaran pertumbuhan ekonomi Selangor untuk 5 tahun akan datang?
Kerajaan negeri Selangor sentiasa komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi membantu rakyat menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar. Sehubungan itu, bagi tahun-tahun yang akan datang, kerajaan negeri Selangor telah mensasarkan pertumbuhan ekonomi melalui pemfokusan dan strategi seperti berikut :
- Melaksanakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)
Melalui program MES, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti serta membangunkan pelbagai sumber supaya rakyat semua kaum tanpa mengira perbezaan agama mahupun fahaman politik dapat sama-sama menikmati hasil kekayaan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi negeri Selangor. Pelaksanaan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor ini akan menjadikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat lebih baik dan sekali gus rakyat dapat menikmati hidup yang lebih sejahtera. Pelaksanaan MES yang dijalankan secara berperingkat melalui fasa demi fasa telah dipergiat dan ditambah baik supaya lebih banyak kekayaan dapat dikongsi dan dinikmati oleh rakyat Selangor.
- Kemapanan sektor ekonomi terutama sektor perindustrian dan perdagangan
Sektor perindustrian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri malah ia merupakan nadi ekonomi negara. Sehubungan itu, adalah menjadi strategi kerajaan negeri untuk melonjakkan negeri Selangor sebagai negeri perindustrian dan perdagangan. Untuk makluman, negeri Selangor mempunyai sektor pembuatan seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif yang terbesar di Malaysia seperti kereta Proton dan Perodua. Kilang-kilang kereta import juga banyak beroperasi di negeri ini seperti Toyota, Nissan, Volkswagen dan banyak lagi. Selain itu, banyak juga
kilang-kilang dari luar negara yang bertapak di negeri yang antaranya adalah kilang Panasonic dari Jepun, Procter & Gamble dari Amerika Syarikat dan lain-lain. Manakala antara kawasan perindustrian yang terkenal ialah di Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Kajang, Rawang dan Petaling Jaya.
- Memperkasa sektor pertanian
Selangor juga telah menunjukkan prestasi yang baik dalam sektor pertanian dengan mencatatkan beberapa kejayaan industri pertanian sejak lima (5) tahun lepas. Sehubungan itu, kerajaan negeri komited untuk meningkatkan hasil tanaman negeri melalui pengeksploitasian dan pencarian kaedah- kaedah baru bagi meningkatkan hasil tanaman. Selain itu, kualiti dan nilai pembungkusan hasil pertanian juga ditambah baik bagi memastikan hasil yang dikeluarkan menepati kehendak pelanggan.
- Peningkatan kualiti hidup dan pembasmian kemiskinan
Peningkatan kualiti hidup rakyat merupakan agenda utama kerajaan negeri bagi membolehkan Selangor menuju ke arah kemodenan dan kemajuan yang mapan. Sehubungan itu, harapan ini direalisasikan dengan memenuhi keperluan kehidupan asasi rakyat melalui kemajuan taraf pendidikan, keamanan yang berterusan, hak untuk memiliki harta dan jaminan generasi masa depan yang cemerlang.
- Pengurusan Perbandaran
Pengurusan perbandaran yang teratur mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, penyediaan kemudahan awam yang sempurna serta kawasan perbandaran yang bersih dan indah menjadi strategi kerajaan negeri sejajar dengan peredaran semasa. Dalam memastikan kecemerlangan ini diteruskan pada masa-masa akan datang, kerajaan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa memastikan aspek asas perbandaran diberi perhatian yang serius.
-
Apakah strategi untuk mencapai sasaran tersebut?
Sama seperti di SUB (a)