Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
141) PERTIKAIAN PENDUDUK KAMPUNG NELAYAN DI SEPANJANG TEBING SUNGAI SELANGOR DI BAGAN SUNGAI YU, PASIR PENAMBANG, DAERAH KUALA SELANGOR ATAS LOT-LOT HSD 280952-PT819, HSD 280953- PT820, HSD 280954- PT821 DAN HSD 280955- PT822
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu berkenaan?
Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor (PDTKS) telahpun mengenal pasti pemilik-pemilik tanah bagi PT 819 hingga PT 822. PT 819 dan PT 820 adalah hakmilik Syarikat Plusbury Development Sdn Bhd manakala PT 821 adalah hakmilik Syarikat Gabungan Melur Sdn Bhd. Berikutnya, PT 822 adalah mempunyai hakmilik pelbagai kerana pemilik telah membuat permohonan pecah sempadan kepada 10 bahagian. Sebahagian besar PT 822 dimiliki oleh Syarikat TL Top Land Sdn Bhd sebanyak 6 bahagian, Syarikat SNL Global Sdn Bhd dan 3 individu lain sebanyak 1 bahagian masing-masing.
Sesi perbincangan telah diadakan dengan pemilik tanah Syarikat Plusbury Sdn Bhd dan Syarikat Gabungan Melur Sdn Bhd. Walau bagaimanapun, perbincangan bersama dengan pemilik-pemilik PT 822 akan diadakan pada masa akan datang kerana sebelum ini tiada aduan penduduk terhadap lot tersebut.
Perbincangan PDTKS bersama Syarikat Plusbury Development Sdn Bhd telah diadakan pada 7 Julai 2022. Majoriti penduduk setinggan tinggal di atas PT 820 dan hanya segelintir penduduk setinggan tinggal di atas PT 822 serta didapati tiada sebarang bangunan dibina di atas PT 819 (tanah kosong). Berdasarkan perbincangan, pihak syarikat telah bersetuju untuk membenarkan penduduk-penduduk setinggan untuk terus tinggal di atas tanah mereka. Memandangkan kategori tanah adalah bangunan, pihak syarikat bercadang untuk menjual lot-lot rumah yang didiami kepada penduduk. Penduduk yang berjaya membeli lot rumah akan dimasukkan nama ke dalam geran. Bagi isu jalan keluar masuk penduduk yang terletak di atas tanah hakmilik, pemilik tanah bersetuju untuk menyerahkan jalan tersebut kepada kerajaan.
Dalam pada itu, bagi rumah penduduk yang terletak di atas rizab sungai (tanah kerajaan), pihak PDTKS bercadang untuk mengenakan lesen pendudukan sementara (LPS) kepada penduduk yang terlibat.
Dalam pada itu, PDTKS juga mengadakan sesi perbincangan dengan Syarikat Gabungan Melur Sdn Bhd pada 17 Jun 2022. Semasa perbincangan, pihak syarikat telah mengemukakan pelan tinjauan terperinci (detail survey) dan didapati terdapat hanya 18 lot kedai serta tiada lot rumah kediaman di atas PT 821. Kebanyakkan lot-lot kedai tersebut di bahagian hadapannya berada di atas tanah hakmilik manakala bahagian belakangnya berada di atas rizab sungai. Sebahagian besar tanah hakmilik ini telah dijadikan sebagai tempat letak kereta untuk pelanggan yang mengunjungi kedai tersebut.
Bagi menangani isu pencerobohan ini, pihak pemilik tanah bercadang untuk mengemukakan kebenaran merancang (KM) kepada pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi tujuan membangunkan semula lot-lot komersial dan jalan keluar masuk supaya lebih teratur dan sistematik. Kesemua lapan belas (18) pemilik kedai sedia ada akan ditawarkan untuk menyewa di lot-lot komersial tersebut.
-
Adakah Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor akan membuat pengukuran semula tebing sungai di Kampung Bagan Sungai Yu khususnya empat lot tanah yang menjadi pertikaian?
Pihak mahkamah telah mengarahkan supaya diadakan pengukuran semula akibat maraan sungai mengikut Seksyen 49 dan Seksyen 382A Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 di atas tanah hakmilik GRN 340955 Lot 11404 bagi membuktikan lapan belas (18) lot kedai (restoran) tersebut berada di atas rizab sungai sepenuhnya dan bukannya di atas tanah hakmilik. Perintah tersebut adalah susulan daripada tindakan saman yang dikemukakan oleh lapan belas (18) orang pemilik lot kedai (restoran) kepada pemilik tanah, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Selangor (PDTKS), Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Walau bagaimanapun, pemilik tanah iaitu Syarikat Gabungan Melur Sdn. Bhd. telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 13 Disember 2021 tersebut. Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2022 telah membenarkan rayuan tersebut dan memerintahkan supaya kes di Mahkamah Tinggi terhadap pemilik tanah serta Pentadbir Tanah Kuala Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor dibatalkan. Justeru itu, keseluruhan tindakan guaman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut telah dibatalkan pada 25 Mei 2022. Oleh yang demikian, berdasarkan keputusan mahkamah terkini, tiada keperluan pengukuran semula tebing sungai dibuat di Kampung Bagan Sungai Yu.
-
Adakah Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor akan mewartakan rizab jalan atas ban Kampung Bagan Sungai Yu sebagai jalan awam?
PDTKS akan membuat pewartaan jalan setelah pihak syarikat meyerahkan jalan tersebut kepada kerajaan kerana sebahagian besar jalan adalah terletak di atas tanah hakmilik. Penyerahan oleh pemilik tanah adalah melalui seksyen 200 (serah balik sebahagian), atau seksyen 204 D dengan penyediaan Kebenaran Merancang (KM) KTN 1965. Walau bagaimanapun, bagi pewartaan jalan ban di atas rizab sungai adalah tertakluk kepada perbincangan di antara PDTKS dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Pandangan daripada pihak JPS diperlukan kerana rizab sungai adalah di bawah tanggungjawab JPS.