Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

339) PERTANIAN DAN PENTERNAKAN MODEN BERKEBAJIKAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu membangunkan hub pertanian dan penternakan di Selangor ?

    Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang mengambil kira kesemua faktor yang boleh memberikan impak untuk jangka panjang dan jangka pendek di dalam membangunkan sektor pertanian makanan Negeri Selangor termasuk di dalam menjadikan Selangor sebagai hub pertanian dan penternakan.

    Melalui Dasar PeTA tersebut adalah seperti berikut :-

    1. Pertanian Bernilai Tinggi;
    2. Pemodenan Pertanian;
    3. Rantaian Bekalan Makanan Yang Lengkap;
    4. Pembangunan Agroprenue; dan
    5. Agro Pelancongan.
  2. Bilakah kerajaan Negeri Selangor akan membina satu pusat atau hub pengumpulan hasil pertanian dan penternakan tanpa melalui "orang tengah" bagi mengoptimumkan pendapatan para petani dan penternak di Selangor khususnya di Hulu Selangor?

    Pusat pengumpulan telah diwujudkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (LPP) di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mana antara lainnya adalah untuk memasarkan hasil-hasil segar yag dikeluarkan oleh agroprenuer Negeri Selangor.

    Selain dari itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga turut membuka lokasi-lokasi jualan hasil laut secara terus kepada orang ramai terutama di kawasan-kawasan berdekatan dengan jeti pendaratan.

    Di bawah program Kerajaan Negeri pula, telah mewujudkan lokasi-lokasi jualan Selangor Agro Market (SAM) selain daripada Pasar Tani di mana program tersebut dilaksanakan dengan FAMA Selangor serta program jualan di bawah Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH) yang turut bertindak sebagai pusat pengumpulan dan jualan hasil segar dan proses agroprenuer seluruh Negeri Selangor.

  3. Apakah Insentif dan Dana yang disediakan untuk menggalakan orang Muda menceburi bidang pertanian dan penternakan di kawasan Hulu Selangor khususnya Batang Kali?

    Insentif dan dana bagi menggalakkan orang muda telah dilaksanakan melalui program Agropreneur Muda (AMSEL) yang mana insentif yang disalurkan melalui program Selangor (AMSEL) yang menyalurkan insentif dari segi input pertanian, mesin dan peralatan dan juga mesin-mesin industry asas tani. Pada tahun 2023, Jabatan Pertanian telah menyalurkan insentif bernilai RM 374,930.00 kepada 40 peserta.

    Setiap tahun Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan untuk pemberian insentif dan bantuan kepada golongan pengusaha sektor pertanian makanan di Negeri Selangor. Ianya termasuk peruntukan-peruntukan di bawah Jabatan Pertanian Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor di mana secara puratanya jumlah peruntukan tahunan adalah di antara RM22 juta hingga RM25 juta dan sekurang-kurangnya 60% daripada peruntukan tersebut adalah untuk pemberian insentif dan bantuan kepada semua golongan khususnya golongan muda dan Wanita selaras dengan objektif Dasar PeTA.

Lampiran

Tiada Lampiran.