Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

303) PERTANIAN DAN MAKANAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk menggalakkan sektor pertanian dan memastikan keselamatan makanan?

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) bagi memajukan sektor pertanian dengan lebih teratur dan tersusun. Dasar ini memberikan penekanan kepada sektor pertanian yang mampu menghasilkan pulangan tinggi menerusi kaedah moden dan berteknologi tinggi serta mesra alam. Objektif utama PeTA adalah :-

    a. Produktiviti
    Meningkatkan pengeluaran hasil segar dan tahap sara diri atau Self Sufficient Ratio (SSR)

    b. Ekonomi
    Meningkatkan sumbangan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) di sektor pertanian makanan dan pendapatan golongan agroprenuer

    c. Modal Insan
    Memberi peluang khususnya kepada golongan dan wanita untuk terlibat di dalam sektor pertanian makanan dan menyediakan Latihan dan bimbingan dengan agroprenuer sedia ada serta yang baharu untuk menceburkan diri.

    Bagi memastikan objektif tersebut dapat dicapai, 5 dasar telah digariskan untuk sektor pertanian di Negeri Selangor iaitu :-

    1. Pertanian Bernilai Tinggi (High Value Product);
    2. Pemodenan Pertanian (Agriculture Modernization);
    3. Rantaian Bekalan Makanan Lengkap (Complete Supply Chain);
    4. Pembangunan Agropreneur (Agropreneur Development); dan
    5. Agro Pelancongan (Agro Tourism).

    Bagi pelaksanaan PeTA pula, ianya telah dipecahkan kepada 9 kluster iaitu :-

    1. Agro Prihatin
    – Pengurusan lambakan hasil pertanian.
    – Pemberian bantuan / insentif kepada golongan petani, penternak, nelayan dan Industri Asas Tani (IAT).

    2. Agro Komuniti
    – Program agro bandar dan kebun komuniti.
    – Agro Siswa.
    – Agro Sekolah.

    3. Agro Centre Of Excellence (ACE)
    – Meningkat kajian dan pelaksanaan untuk mengeluarkan benih tanaman, baka ternakan dan akuakultur serta kajian bagi mengurangkan kos makanan ternakan serta penghasilan input-input tanaman yang bersifat mesra alam.

    4. Agropreneur Selangor
    – Mewujudkan lebih ramai agroprenuer.
    – Program Ikon Selangor.
    – Pendaftaran agroprenuer.

    5. Agro Pelancongan
    – Galakan untuk mewujudkan lebih banyak lokasi agro pelancongan berasaskan projek-projek pertanian yang sedia ada sebagai pendapatan tambahan kepada pengusaha.
    – Melaksanakan program-program bagi mempromosikan lokasi pertanian seperti Pesta D’Bendang dan Sport Fishing.

    6. Maju Agro Selangor
    – Program meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan agroprenuer.
    – Membina dan menaik taraf prasarana berkaitan sektor pertanian.

    7. Agro Niaga
    – Mewujudkan lebih banyak pusat-pusat pengumpulan yang lengkap.
    – Promosi hasil segar dan proses di dalam dan luar negara.
    – Mewujudkan lokasi-lokasi jualan secara terus kepada pengguna seperti Selangor Agro Market (SAM) dan Program Agro Ehsan.

    8. E-Agro
    – Pusat pengumpulan data-data pertanian seperti kawasan yang sedang diusahakan dengan projek pertanian, jumlah pengusaha sektor pertanian makanan segar dan proses serta maklumat tanah-tanah pertanian milik Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dimajukan.
    -Borang-borang permohonan insentif pertanian dan pendaftaran agroprenuer secara atas talian.

    9. Smart Selangor Agro Park (SSAP) Dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF)
    – Pembukaan lebih banyak Kawasan-kawasan pertanian makanan berteraskan Dasar PeTA.

    Melalui dasar PeTA tersebut ianya turut merangkumi program dan projek khususnya di kawasan bandar bagi memberikan hasil sampingan melalui projek berskala kecil tetapi berpotensi memberikan pendapatan sampingan yang baik seperti tanaman cendawan, tanaman berkonsepkan fertigasi dan hidroponik serta penternakan lobster air tawar di mana projek-projek pertanian tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas tetapi dapat mengoptimakan ruang yang ada dengan imbuhan pendapatan yang baik

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan produktiviti dan keberlanjutan dalam pertanian?

    Kerajaan Negeri menggalakkan para petani untuk mengusahakan pertanian bernilai tinggi dan mengikut kehendak pasaran yang mampu meningkatkan pendapatan dan produktiviti mereka dalam sektor pertanian dalam menjamin keselamatan makanan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada sektor pertanian seperti menyediakan khidmat nasihat, kursus, latihan dan bimbingan teknikal bagi pakej amalan teknologi pertanian. Petani boleh memohon bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan benih, mesin serta peralatan pertanian, penyediaan kawasan dan lain-lain bantuan yang diperlukan.

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mempromosikan penggunaan teknologi dalam pertanian?

    Penggunaan teknologi dalam pertanian di Negeri Selangor telah diperkenalkan seperti penggunaan sistem Internet Of Things atau lebih dikenali sebagai IoT telah mula mengambil tempat di dalam projek-projek pertanian seperti tanaman berkonsepkan fertigasi, hidroponik dan akuponik. Penggunaan peralatan-peralatan moden tersebut atau lebih dikenali sebagai gajet pertanian telah menarik minat golongan belia sebagai contoh pengawalan suhu, nutrient tanah, penyakit dan penggunaan baja boleh dikawal menggunakan sistem di atas talian sahaja.

    Sebagai langkah untuk mempromosikan penggunaan teknologi, Kerajaan Negeri menyediakan sebuah kawasan khusus untuk pelaksanaan projek tersebut iaitu di bawah Program Pembangunan Agropreneur Projek Tanaman Golden Melon yang terletak di Selangor Fruit Valley milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di mana tapak projek tanaman menggunakan kaedah penanaman secara hidpronik dengan penggunaan peralatan airhydroport yang boleh di kawal penggunaan baja dan dalam masa yang sama juga boleh mengurangkan penggunaan air selaras dengan amalan precision agriculture.

    Selain dari itu, kawasan-kawasan untuk pertanian juga telah bermula seperti di Selangor Smart Agro Park (SSAP) di Sungai Ayer Tawar dan Sg. Panjang di Daerah Sabak Bernam serta di Daerah Hulu Selangor untuk pelaksanaan projek-projek pertanian yang akan disyaratkan untuk dilaksanakan secara moden dan mempunyai potensi pemasaran yang sangat baik serta mengikut kehendak pasaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.