Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
76) PERSOALAN PENGUATKUASA JAIS
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bilakah amalan meletakkan penguatkuasa selepas waktu pejabat hanya berpusat di ibu pejabat JAIS di Shah Alam akan dikembangkan ke PAID supaya aduan maksiat dan kemungkaran boleh dibanteras dengan lebih berkesan.
Amalan meletakkan penguatkuasa selepas waktu pejabat yang berpusat seperti di ibu pejabat JAIS di Shah Alam untuk dikembangkan ke PAID agar aduan maksiat dan kemungkaran boleh dibanteras dengan lebih berkesan tidak akan dilaksanakan oleh JAIS. Ini kerana pengurusan penguatkuasaan JAIS telah melaksanakan Dasar Satu Pintu (DSP) dalam menguruskan aduan-aduan kes jenayah Syariah termasuk aduan berhubung maksiat dan kemungkaran bagi seluruh Negeri Selangor. Dasar ini bermaksud semua aduan perlu disalurkan secara berpusat ke ibu pejabat Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan di Shah Alam iaitu melaui hotline JAIS ditalian 1800-88-2424. Setiap aduan ini akan diambil tindakan melalui maklumat yang diturunkan kepada Unit Pengurusan Penguatkuasaan di setiap daerah untuk dilaksanakan tindakannya. Anggota penguatkuasa agama seluruh daerah yang diketuai oleh seorang penguatkuasa agama gred S27 telah diarahkan untuk bersiap sedia bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bersama anggota penguatkuasa agama lain yang ditempatkan di daerah termasuklah selepas waktu pejabat. Dengan perlaksanaan dasar ini akan dapat membantu perlaksanaan tindakan penguatkuasaan sewajarnya dan penyeliaan terhadap tindakan setiap aduan yang dibuat kepada Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
-
Berapakah jumlah penguatkuasa mengikut daerah dan bidang?
Jumlah penguatkuasa mengikut daerah dan bidangnya adalah :
Bil Daerah Jumlah 1. Gombak 9 2. Petaling 4 3. Kelang 7 4. Hulu Langat 8 5. Kuala Langat 5 6. Kuala Selangor 5 7. Hulu Selangor 6 8. Sepang 6 9. Sabak Bernam 6 Dari jumlah anggota penguatkuasa agama yang ditempatkan di daerah tersebut, bidang tugas yang ditetapkan adalah untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan termasuklah menangkap, menyiasat dan menyediakan kertas siasatan terhadap pelaku kesalahan jenayah Syariah untuk persedian proses pendakwaan ke mahkamah. Selain itu, terdapat aktiviti-aktiviti pencegahan yang telah diatur untuk dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Penguatkuasaan di peringkat daerah seperti penerangan berkenaan jenayah syariah, kaunseling dan seminar kepada kumpulan sasar yang ditetapkan.
-
Apakah perancangan tuntas untuk memberdayakan biro Amar Makruf Nahi Mungkar masjid di seluruh negeri bagi mengekang aktiviti maksiat di akar umbi?
Perancangan tuntas untuk membudayakan biro Amar Makruf Nahi Mungkar masjid di seluruh negeri bagi mengekang aktiviti maksiat di akar umbi perlu merujuk semula kepada peranan pegawai masjid seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 104.(2)(b) yang menyebut bahawa pegawai masjid “bertanggungjwab bagi kelakuan anak kariah masjid itu dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam”. Oleh itu, selain tindakan penguatkuasaan yang perlu dilaksanakan, banyak aktiviti atau program yang boleh dianjurkan bagi menghindarkan dari berlakunya gejala-gejala maksiat dan kemungkaran melalui masjid-masjid di Negeri Selangor. Antara program yang dicadangkan adalah program-program yang boleh memperkukuhkan kerohanian kepada ahli kariah, program-program yang dapat memenuhi masa lapang kearah kebaikan individu dan masyarakat serta program-program penerangan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan kesan terhadap individu dan masyarakat yang melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan.