Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

109) PERSEMPADANAN SEMULA DUN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan mengkaji persempadanan semula DUN-DUN Selangor mengikut jumlah pengundi yang lebih adil?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, urusan kajian semula dilaksana berdasarkan keperluan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan serta menurut prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan sebagaimana Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

     

    Pertama, berdasarkan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, urusan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya dilaksanakan dalam lat tempoh tidak kurang daripada 8 tahun antara selesainya urusan kajian semula persempadanan yang terakhir. Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia memulakan sesuatu urusan kajian semula persempadanan, ianya hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh bermulanya kajian semula persempadanan itu.

     

    Urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya telah dilaksanakan pada tahun 2018 di mana Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018 telah diwartakan di bawah P.U.(A) 83 berkuat kuasa mulai 29 Mac 2018.

     

    Kedua, berdasarkan Fasal 3A Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, sekiranya terdapat perubahan bilangan ahli dipilih bagi Dewan Rakyat atau ahli dipilih bagi Dewan Undangan sesuatu negeri susulan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia hendaklah melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula dalam tempoh 2 tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa.

     

    Prinsip-prinsip yang diambil kira dalam melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan iaitu:

    • Kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri;
    • Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian;
    • Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan
    • Pemeliharaan hubungan tempatan.
  2. Jika ya, nyatakan masa yang diperlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.