Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

104) PERSEMPADANAN SEMULA DUN-DUN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini cadangan persempadanan semula DUN-DUN Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) menerusi mesyuarat Ke 20 / 2022 pada 24 Ogos 2022 yang disahkan pada MMKN Ke 21 / 2022 pada 7 September 2022 telah memutuskan untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi Penyelarasan Semula Jumlah Kerusi Dewan Negeri Selangor.

    Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan secara bersama oleh Y.B. Tuan Ng Sze Han (EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam) dan Y.B. Tuan Borhan bin Aman Shah (EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan).

    Jawatankuasa Khas tersebut berfungsi untuk meneliti dapatan-dapatan kajian/pandangan dari pelbagai pihak termasuk NGO dan ahli akademik, seterusnya menyediakan hasil penelitian dan rumusan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri berkaitan perkara tersebut.

    Sehubungan itu, satu mesyuarat dan taklimat telah diadakan pada 20 Oktober 2022 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan SSAAS yang dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Borhan Aman Shah dan turut dihadiri oleh beberapa NGO dan ahli akademik yang telah memberikan penerangan dan taklimat berkaitan proses-proses serta cadangan berhubung penyelarasan semula jumlah kerusi Dewan Negeri Selangor.

    Secara tidak langsung, hal ehwal berkaitan persempadanan kerusi Dewan Negeri turut disentuh serba sedikit semasa sesi taklimat tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat, perkara berkaitan penyelarasan jumlah kerusi Dewan Negeri dan hal yang berkaitan sedang berada dalam pemerhatian dan tindakan jawatankuasa tersebut. Sebarang perkembangan dan rumusan akan dikemukakan oleh jawatankuasa ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.