Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

25) PERSEMPADANAN SELANGOR DAN WILAYAH KUALA LUMPUR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status perbincangan berkenaan Garisan Sempadan antara Selangor dan Wilayah?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara, fasa pengukuran dan penandaan sempadan yang berjarak 103.7 kilometer telah selesai dijalankan oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) pada 31 Oktober 2024. Ketika ini, pihak JUPEM sedang dalam tindakan penyediaan Pelan Kerja (anggaran 86 lembar) yang akan disemak kemudiannya oleh kedua-dua pihak Negeri dan Wilayah Persekutuan. Bagi Lokasi Outstanding Boundary Problem (OBP) penandaan dan pengukuran telah dijalankan sebagaimana keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) pada 5 Mac 2020. Sebagai tambahan, OBP baru telah dikesan di beberapa lokasi pada tahun 2024 dan memerlukan penyelesaian di peringkat JBT serta keputusan dasar Kerajaan Negeri sebelum pihak JUPEM menjalankan ukuran penjajaran semula.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi memastikan perbincangan ini dapat dimuktamatkan?

    Bagi memastikan perbincangan ini dapat dimuktamadkan, pihak PTGS sentiasa mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak PTGWP dan pihak JUPEM. Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah dan akan dilakukan bersama pihak-pihak berkenaan bagi memastikan Perjanjian Sempadan pada akhirnya dapat dicapai. Terkini, pihak Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan akan mengadakan Mesyuarat JBT yang dijadualkan pada 11 Mac 2025.

  3. Adakah kerajaan bercadang untuk mengambil kembali Wilayah Persekutuan jika perbincangan ini menemui jalan buntu?

    Kerajaan Negeri kekal optimis bahawasanya perbincangan untuk persempadanan Negeri Selangor bersama Wilayah Persekutuan ini pada akhirnya akan dapat dicapai. Hal ini kerana halangan tersebut adalah bersifat teknikal dan tidak melibatkan sebarang sentimen kenegerian. Kedua-dua pihak Negeri dan Wilayah Persekutuan pada asasnya komited dan percaya bahawa penyelesaian secara rundingan adalah merupakan penyelesaian terbaik.

Lampiran

Tiada Lampiran.