Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

14) PERSEDIAAN MENGHADAPI RISIKO BANJIR BESAR 2022

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui PBT, JPS, JKR dan Pejabat Daerah di Pelabuhan Klang setakat ini bagi menghadapi risiko bencana banjir besar?

    Jabatan Perparitan & Saliran (JPS)

    Untuk makluman Yang Berhormat, Bagi menghadapi risiko bencana banjir besar di kawasan Pelabuhan Klang, Jabatan Perparitan dan Saliran Klang (JPS) telah merancang beberapa tindakan bagi mengatasi masalah banjir khususnya di kawasan N46 DUN Pelabuhan Klang. Antara tindakan dan perancangan kerja bagi kawasan hotspot banjir di Pulau Indah dan Telok Gong adalah seperti berikut;

    Perancangan Jangka Masa Pendek:

    1. Kerja-Kerja Memulihkan Ban Serta Kerja Mengatasi Banjir Di Telok Gong Serta Kerja-Kerja Berkaitan;
    2. Kerja-Kerja Memulihkan Ban Serta Kerja Mengatasi Banjir Di Pulau Indah Serta Kerja-Kerja Berkaitan;
    3. Kerja-kerja Penyelenggaraan Secara Berkala di Parit Borrow Pit dan Kerja-kerja berkaitan di Pulau Indah;
    4. Kerja-kerja Penyelenggaraan Secara Berkala di Parit Borrow Pit dan Kerja-kerja berkaitan di Telok Gong;
    5. Kerja-Kerja Memulihkan Sistem Saliran, Ban Dan Tebing Sungai Di Pelabuhan Klang Serta Kerja -Kerja Berkaitan Daerah Klang;

    Perancangan Jangka Masa Panjang (Peruntukan Negeri)

    1. Projek Tebatan Banjir Sungai Kembong, Pulau Indah (Jangkaan mula projek :2023, Tempoh ; 2 tahun)
    2. Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang, Pulau Indah (Jangkaan mula projek :2023, Tempoh ; 2 tahun)

     

    Majlis Perbandaran Klang (MPK)

    Disamping itu, pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut telah menyelanggara sistem perparitan dan kolam takungan/tadahan di dalam kawasan selian Majlis serta mengorek dan mengeluarkan sampah. Pada masa sama, Jabatan Penguatkuasa MPK turut sentiasa memantau kawasan yang sering menghadapi bencana banjir melalui 76 lokasi Kamera Litar Tertutup (CCTV) oleh Unit CCTV MPK. Sebagai persediaan menghadapi bencana juga, pihak MPK turut memperkemaskan Pasukan Tindakan Segera (Skuad PANTAS) dengan peralatan dan kelengkapan.

    Selain bertindak menyalurkan laporan awal berkenaan situasi banjir atau bencana kepada pasukan keselamatan, pasukan PANTAS MPK juga bersedia 24 jam bagi menghadapi bencana dan akan bertindak sebagai pasukan bantuan awal jika berlaku kecemasan.

     

    Jabatan Kerja Raya Klang (JKR)

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut telah melaksanakan persediaan-persediaan bagi mengurangkan risiko kejadian bencana di Pelabuhan Klang. . Antara tindakan yang telah dilaksanakan oleh pihak JKR Klang antaranya;

    1. JKR Klang telah merangka dan menyediakan kakitangan, jentera, peralatan, pengurusan trafik bagi pengurusan bencana di seluruh Daerah Klang;
    2. Pemantauan ketat di seluruh kawasan senggaraan dan mengemaskini situasi semasa;
    3. Penekanan yang lebih diberikan bagi skop-skop kerja yg melibatkan sistem saliran di seluruh kawasan;
    4. Melaksanakan dan mempercepatkan pusingan pembersihan longkang pada musim monsun timur laut;
    5. Menempatkan staf utk pemantauan lokasi kerap berlaku banjir kilat di laluan negeri dan persekutuan;
    6. Menggerakkan “Flying Squad” @ pasukan khas bagi kerja2 kecemasan atau membersihkan longkang/scupper drain tepi jalan sekiranya berlaku limpahan air ke atas permukaan jalan.

     

    Pejabat Daerah / Tanah Klang (PDTK)

    Disamping melaksanakan tindakan pencegahan banjir dalam aspek teknikal dan insfrastruktur, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD Klang) turut mewujudkan sebanyak 40 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menampung keperluan mangsa banjir di kawasan Pelabuhan Klang. Sebagai persediaan awal, JPBD Klang telah menempatkan sementara peralatan kit keperluan bencana (bantal, tilam toto, tikar dan collapsible tent) di Sekolah Kebangsaan Telok Gong dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah, Klang. Bagi tindakan jangka masa panjang pihak JPBD Klang bercadang untuk menempatkan kontena berisi peralatan set keperluan bencana di kawasan-kawasan strategik di DUN Pelabuhan Klang sebagai persediaan sekiranya berlaku bencana.

    Selain itu, program pemerkasaan komuniti melalui penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) Daerah Klang turut telah dilaksanakan. Pasukan ini merupakan pasukan sukarelawan komuniti yang dilatih sebagai first responder sekiranya berlaku bencana sebelum agensi-agensi penyelamat tiba. Setakat ini, di bawah DUN Pelabuhan Klang, terdapat seramai 30 orang daripada jumlah keseluruhan 224 orang ahli pasukan CERT Klang yang bersedia dikerahkan sekiranya berlaku bencana di peringkat komuniti dimana pasukan ini telah dilengkapi latihan dan kemahiran pengendalian Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Penyelamatan Ringan dan sebagai pemandu arah kepada pasukan penyelamat.

Lampiran

Tiada Lampiran.