Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
218) PERSEDIAAN MENGHADAPI EL-NINO
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah persiapan Kerajaan Negeri bagi mengahadapi fenomena El-Nino atau cuaca panas kering yang dijangka bermula bulan Februari 2024?
Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mengeluarkan siaran media pada 13 Februari 2024 berhubung cuaca panas yang dijangka berlaku pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024. Melalui inisiatif Smart Selangor dibawah domain Smart Disaster Management, Kerajaan Negeri telah menyediakan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) dan District Disaster Operation Centre (DDOC) dengan kerjasama strategik oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Bahagian Pengurusan Maklumat dan 9 Pejabat Daerah & Tanah serta Smart Selangor Delivery Unit (SSDU). SSOC berfungsi untuk memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dengan DDOC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian Bencana di Negeri Selangor.
-
Adakah bekalan bekalan air bersih / bekalan air mentah dapat menampung keperluan rakyat Selangor di sepanjang tempoh fenomena ini berlaku?
Pada 13 Februari 2024, Jabatan Meterologi Malaysia membuat siaran media bahawa fasa terakhir Monsun Timur Laut dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024. Dalam tempoh ini taburan hujan akan berkurangan dan cuaca lebih panas di kebanyakan tempat di Malaysia.
14 Februari 2024, empat (4) buah empangan utama di Negeri Selangor berada pada paras 100% iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang. Sementara dua (2) empangan melebihi kapasiti 90% iaitu Empangan Sungai Langat dan Empangan Batu. Sementara Empangan Klang Gate pada paras 84%. Kesemua empangan ini mampu membekalkan air selama enam (6) bulan sekiranya tiada hujan. Status empangan ini boleh dilayari melalui laman sesawang www.iwrims.luas.gov.my.
Kesediaan bekalan air mentah ini juga dibantu melalui 100 buah kolam takungan yang dapat dijadikan sumber air alternatif di Negeri Selangor. Kolam-kolam ini mampu membekalkan air tambahan selama 3 bulan lagi. Air kolam akan dialirkan samada secara graviti atau melalui pam ke sungai-sungai di mana kedudukan muka sauk terletak di hilirnya. Kesimpulannya, Negeri Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi untuk membekalkan air kepada penduduk Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama tempoh berlaku fenomena El-Nino pada kali ini.
Di samping itu, usaha memastikan bekalan air yang mencukupi bagi menghadapi fenomena El-Nino ini memerlukan kolaborasi dan komitmen sepenuhnya antara pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Air Selangor bertanggungjawab memastikan bekalan air dapat diagihkan kepada para pengguna dan pada masa sama, berganding bahu dengan LUAS yang bertanggungjawab menjaga dan melindungi sumber air sungai di Selangor. Bagi Air Selangor, ia telah menyiapkan rangka kerja bagi menganalisa impak dan persediaan dalaman Air Selangor dalam menghadapi fenomena El-Nino berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau yang melampau di Semenanjung Malaysia pada tahun 2025 hingga 2035. Menurut kajian ini, Negeri Selangor dijangkakan akan berdepan dengan pengurangan hujan dalam julat 0.1% sehingga 36.3 %. Kajian hidrologi atas lembangan sungai dan impak ke Negeri Selangor khususnya perlu dilaksanakan untuk mendapat data dan unjuran yang lebih tepat.
Pelan risiko ini telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Lembaga Pengarah Risiko dan Kelestarian (atau Board Risk Sustainable Committee (BRSC)) Air Selangor pada Jun 2023. Bekalan air bersih/bekalan air mentah dijangkakan dapat menampung keperluan pengguna air di Negeri Selangor di sepanjang tempoh fenomena ini berlaku dengan; mengandaikan hanya satu lembangan sungai sahaja yang terkesan pada satu-satu masa; serta mengambil kira beberapa langkah mitigasi yang perlu diaktifkan semasa tempoh El-Nino. Pelan ini turut melibatkan pengepaman air mentah daripada kolam-kolam OPAK sedia ada, pengaktifan Skim Jaminan Bekalan Air Mentah (SJAM) dan pengoperasian optimum loji rawatan air (LRA) utama.
-
Bagaimanakah persediaan Kerajaan Negeri untuk mencegah pembakaran terbuka seperti tapak pelupusan sampah, kebun dan tanah gambut yang boleh memburukkan fenomena ini?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan merancang dan menyelaras Tindakan Bersama agensi/jabatan berkaitan semasa mesyuarat persediaan menghadapi musim kering yang akan dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 19 Mac 2024. Beberapa langkah persediaan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi musim kering seperti berikut :
- Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (SPBT), telah mempunyai alat pemadaman kebakaran tanah gambut “Peat Fire X” yang ditempatkan dan dioperasikan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Selangor dalam operasi pemadaman kebakaran tanah-tanah gambut dan tapak pelupusan sampah haram. Alat ini boleh digunakan oleh semua Skuad PANTAS PBT Negeri Selangor bagi kejadian berskala besar dan operasi bersepadu dilaksanakan.
- Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah melaksanakan projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) yang bertujuan menguruskan tanah gambut di Malaysia secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelakkan degradasi dan kebakaran serta menjana faedah kepada generasi pada masa kini dan masa hadapan melalui pendekatan secara holistik dengan memperkasakan tatakelola institusi, meningkatkan koordinasi antara agensi dan penglibatan masyarakat setempat. Operasi pencegahan kebakaran tanah gambut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dalam memastikan kebakaran tidak merebak dan kebakaran berskala besar tidak berlaku.
- Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan akan melaksanakan pemantauan dan penilaian risiko di kawasan tapak pelupusan sampah haram dan sekitar kawasan tanah gambut bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku.
- Kerajaan Negeri akan mengaktifkan pengepaman telaga air bawah tanah (Tubewell) di bawah seliaan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tujuan pembanjiran kawasan tanah gambut dan hutan simpan kekal yang sering kali terbakar.
- Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan membantu operasi pemadaman kebakaran di kawasan Hutan Simpan Kekal di seluruh negeri menggunakan Pesawat Bombardier.
- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut melaksanakan pemantauan bekalan air mentah yang mencukupi melalui Operasi Pengepaman Kolam Air Alternatif (OPAK) dan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan, sekiranya perlu.