Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
194) PERSEDIAAN BENCANA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah persediaan Kerajaan Negeri Selangor di dalam pembukaan PPS (Pusat Pindahan Sementara)?
Bagi tujuan kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan portfolio khusus kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN). YB EXCO Perumahan & Kebudayaan bertanggungjawab terhadap penyelarasan PPS manakala EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat berperanan menyelaraskan bantuan kebajikan kepada mangsa bencana.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor telah melaksanaan pewartaan 1,152 PPS di seluruh negeri Selangor. Jumlah PPS ini dijangka mampu menampung seramai 300,000 orang mangsa dalam satu-satu masa. PPS yang telah diwartakan ini telah disyor dan diperaku oleh semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) negeri Selangor. Ia meliputi premis serta kemudahan-kemudahan awam seperti sekolah, dewan, balai raya, masjid, surau, dan lain-lain kemudahan. Sekiranya berlaku bencana luar jangka yang memerlukan penambahan PPS selain yang diwartakan oleh JKM, pihak JPBD boleh mengaktifkan PPS tersebut secara ad hoc.
-
Apakah tahap persediaan Kerajaan Negeri Selangor di dalam pengagihan bantuan segera kepada mangsa banjir?
Kerajaan Negeri komited dalam meringankan beban mangsa banjir dengan memberi sumbangan bantuan kewangan, inisiatif pembaikan kediaman, bantuan segera kerja-kerja pembersihan, menyelaras bantuan dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), kerja-kerja pembaikan infrastruktur awam serta menyelaras bantuan-bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan segala permohonan bantuan diproses dengan baik dan teratur. Ini bagi memastikan tidak berlaku kes penyelewengan, isu permohonan bertindih, dan permohonan bantuan yang tercicir. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menetapkan prosedur seperti berikut:
- Penyerahan bantuan segera diuruskan bagi permohonan yang lengkap dan melibatkan mangsa yang mendaftar untuk berpindah ke PPS;
- Laporan polis disertakan bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS bagi mengelakkan penyelewengan atau tuntutan bertindih; dan
- Keperluan pengesahan oleh pegawai yang dilantik bagi permohonan mangsa yang tidak berpindah ke PPS bagi mengelakkan isu penyelewengan.